Lebih 17,000 kes rogol dalam tempoh 10 tahun, Selangor tertinggi

Lebih 17,000 kes rogol dalam tempoh 10 tahun, Selangor tertinggi

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17,609 kes rogol direkodkan dalam tempoh 2015 hingga 2025 berdasarkan statistik siasatan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,090 kes atau kira-kira 40 peratus telah dituduh.

“Dalam tempoh sama, Selangor merekodkan jumlah kes rogol tertinggi iaitu sebanyak 3,392 kes dengan 1,575 kes dituduh, diikuti Johor sebanyak 2,006 kes dan 806 kes dituduh.

“Selain itu, Sabah sebanyak 1,817 kes dan 505 kes dituduh serta Kedah sebanyak 1,465 kes dengan 465 kes dituduh.

“Perlis pula merupakan negeri yang terendah merekodkan kes rogol iaitu sebanyak 275 kes dengan 116 kes dituduh,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Saifuddin menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) sama ada siasatan semula dijalankan berhubung kes rogol melibatkan mangsa, Loh Wai Mun selepas pertuduhan terhadap penyerangnya diturunkan daripada Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol) kepada Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul kehormatan) tanpa pengetahuan mangsa dan jumlah sabitan kes rogol sejak 2015 mengikut negeri.

Saifuddin berkata, bagi kes itu, PDRM telah menjalankan siasatan secara menyeluruh di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan sebaik sahaja laporan diterima.

“Keputusan untuk meminda pertuduhan daripada Seksyen 376 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 354 Kanun Keseksaan adalah di bawah bidang kuasa dan budi bicara Peguam Negara selaku Pendakwa Raya selaras dengan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Pindaan itu biasanya dibuat berdasarkan penilaian terhadap keterangan yang tersedia bagi memastikan kebarangkalian sabitan yang lebih tinggi di mahkamah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN