PETALING JAYA: Pernah berdepan situasi mengancam keselamatan, pelakon, Zara Zya bercadang mengupah pengawal keselamatan terutama ketika hadir ke acara hiburan di kawasan umum.
Zara atau atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 39, berkata, dia pernah didatangi individu yang mahu penjelasan mengapa pelakon tersebut menyekat media sosialnya gara-gara berasa diganggu.
“Setakat ini, belum pernah lagi berhadapan situasi berbahaya melampau, cuma ada yang saya sudah sekat dalam media sosial berjumpa saya di acara hiburan. Mereka seperti berhalusinasi saya ini teman wanita mereka.
“Bila kerap terima pesanan langsung (DM) di media sosial dengan ayat-ayat aneh, saya sekat sahaja tetapi mereka berani untuk jumpa berdepan dan minta penjelasan. Takut juga, nasib baik di kawasan umum.
“Sebab itu saya terfikir untuk pasang pengawal keselamatan terutama ketika menghadiri acara yang memerlukan saya untuk bertemu peminat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pelakon Risik Pada Hati itu sebelum ini memuat naik tangkap layar seorang wanita yang mendakwa dia ‘menyondol’ suaminya di Instagram.
Bagaimanapun, pelakon itu menafikan tuduhan tidak berasas tersebut dan menyifatkannya sebagai kurang siuman.
“Terkejut juga sebab tuduhan itu memang tidak berasas. Kalau baca tuduhan individu itu pun, dia seperti kurang sihat. Tetapi saya tidak boleh ambil ringan. Ini berbahaya.
“Sebelum ini peminat fanatik saya terdiri daripada golongan lelaki tetapi sekarang, ada wanita juga. Saya kena berhati-hati dan sentiasa menjaga keselamatan tidak kira di mana sahaja.
“Saya ini jarang keluar dan tidak suka mengemas kini lokasi serta aktiviti harian saya. Takut jika ada perkara yang tidak diingini berlaku. Ditambah dengan kes jenayah sekarang, saya perlu jaga keselamatan diri,” ujarnya. – UTUSAN










