Rebat air RM11 juta manfaatkan hampir 600,000 pengguna di Pulau Pinang

Rebat air RM11 juta manfaatkan hampir 600,000 pengguna di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Rebat bil air berjumlah RM11 juta yang diberikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dijangka memanfaatkan sehingga 597,705 pengguna domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, rebat berkenaan akan ditunjukkan dalam bil yang dikeluarkan oleh PBAPP mulai bulan depan hingga Disember ini.

“Semua pengguna air domestik di Pulau Pinang tidak akan dicaj untuk penggunaan 10m³ (10,000 liter) pertama dalam bil air dwibulanan untuk tempoh enam bulan (Julai hingga Disember 2024).

“Ini adalah mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang pada Jun 2024 berikutan pelaksanaan kadar air domestik baharu 2024 di Pulau Pinang seperti yang dikawal oleh kerajaan Pusat,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, rebat ini akan memanfaatkan 597,705 pengguna air domestik di Pulau Pinang, di mana setiap pengguna domestik akan memperoleh penjimatan keseluruhan sebanyak RM18.60.

“Rebat ini hanya untuk pengguna domestik sahaja dan ia tidak terpakai kepada pengguna bukan domestik, pengguna domestik pukal, pengguna perkapalan, rumah ibadat, atau institusi kebajikan.

“Bergantung pada tarikh pengebilan, pengguna domestik akan melihat rebat dalam bil yang dikeluarkan pada kitaran pengebilan September/Oktober 2024 (RM12.40) dan November/Disember 2024 (RM6.20),” katanya.

Tambahnya, pengguna domestik yang tidak mendapat rebat dalam bil mereka diminta untuk menghubungi Pusat Panggilan 24 Jam PBAPP di talian 04-2558255 atau mengunjungi salah satu daripada sembilan Pusat Khidmat Pelanggan PBAPP, iaitu di Komtar, Balik Pulau, Bayan Baru, Bukit Mertajam, Jawi, Kepala Batas, Kompleks Perai, Padang Tembak, dan Taman Selat.

“Keluarga besar yang terdiri daripada lapan orang atau lebih dengan pendapatan isi rumah maksimum RM5,580 sebulan juga layak mendapat rebat RM20 daripada bil air domestik dwibulanan mereka.

“Isi rumah yang layak akan melihat rebat mesra keluarga ini dalam bil air domestik mereka mulai September ini. Mereka yang ingin memohon rebat ini boleh mengunjungi Pusat Khidmat Pelanggan PBAPP berhampiran,” katanya.

Pathmanathan juga berkata, PBAPP telah membuat pelarasan untuk mengehadkan jangka masa pengebilan dwibulanan kepada maksimum 63 hari mulai Oktober 2024.

“Had 63 hari ini adalah untuk menampung cuti umum dan cuti mingguan yang mungkin berlaku pada akhir pengebilan. Siasatan telah mengesahkan bahawa beberapa pengguna air domestik telah dibilkan untuk penggunaan dalam tempoh masa sehingga 67 hari, sejak Mac lalu.

“Kelewatan pengebilan ini disebabkan oleh bilangan cuti umum sepanjang enam bulan yang lalu, selain beban kerja pembacaan meter yang semakin meningkat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN