Radius pencarian mangsa dikhuatiri lemas diperluas - Utusan Malaysia

Radius pencarian mangsa dikhuatiri lemas diperluas

ABDULLAH ABDUL MUBIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Radius pencarian seorang lelaki, Abdullah Abdul Mubin, 44, yang dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu dekat Taman Tamadun Islam (TTI), pagi tadi, diperluaskan sehingga enam kilometer (km).

Ketua Zon I, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Yusmaredza Mirza Mohamed Ali berkata, langkah tersebut diambil susulan operasi mencari dan menyelamat (SAR) belum berjaya setakat pukul 5.45 petang ini.

Menurut beliau, seramai 23 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan Jalan Kota telah melakukan empat selaman sejak operasi dilancarkan 8.15 pagi tadi.

Yusmaredza Mirza menjelaskan, pihaknya juga telah meminta bantuan tambahan dua ekor anjing Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu operasi.

“Bagi operasi petang ini pasukan SAR akan meneruskan pencarian di permukaan air sehingga pukul 7 malam dan disambung semula pada sebelah malam bergantung keadaan air.

“Sungai yang berkedalaman empat meter ini memberi cabaran kepada PPDA susulan arus air yang deras selain tahap penglihatan yang terhad sehingga menyukarkan operasi SAR.

“Sejak pagi tadi, kami sudah meluaskan radius pencarian sejauh 3km ke muara dan 3km ke arah hulu sungai dari titik mangsa dipercayai terjatuh,” katanya ketika ditemui Pos Kawalan Bomba di sini, hari ini.

Menurut beliau, operasi SAR itu turut dibantu PDRM terdiri daripada unit polis marin, sukarelawan dari Persatuan Jet Ski Terengganu, pemandu bot pelancong dan penduduk kampung.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi tadi, Abdullah dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari jet ski yang ditunggang di Sungai Terengganu berhampiran Masjid Kristal di TTI.

Ketika kejadian, mangsa yang juga seorang mekanik dan pelumba jet ski profesional dikatakan sedang menguji jentera berkenaan bagi menghadapi perlumbaan di Thailand, bulan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN