Projek SA Sentral lancar bulan depan - Utusan Malaysia

Projek SA Sentral lancar bulan depan

SA Sentral
MAHMUD Abbas (tengah) bersama Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari melihat sejarah PKNS pada Forum Peluang Hartanah Selangor Pembuktian Masa Depan sempena Ulang Tahun Ke-60 PKNS di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Projek pembinaan Shah Alam Sentral (SA Sentral) yang menelan kos sehingga RM2 bilion oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 14 di sini, bakal dilancarkan secara rasmi bulan depan.

Pembangunan semula kawasan pusat bandar ini meliputi Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), SACC Mall, Plaza Alam Sentral dan Plaza Perangsang.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, SA Sentral menjadi projek ikonik pihaknya yang bercirikan bandar bebas karbon, teknologi hijau serta kecerdasan buatan (AI).

“Selain itu, PKNS ketika ini memfokuskan pembinaan kediaman termasuk kondominium berhadapan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di stesen Dato’ Menteri.

“Projek peremajaan pusat bandar Seksyen 14 itu dilancarkan bulan depan dan dijangka siap dalam tempoh lapan hingga 10 tahun,” katanya ketika ditemui pada Forum Peluang Hartanah Selangor Pembuktian Masa Depan sempena sambutan ulang tahun ke-60 PKNS, hari ini.

SA Sentral yang bakal menjadi daerah pusat perniagaan (CBD) di atas tanah seluas 64.7 hektar itu turut akan menampilkan pembangunan komersial, pejabat, taman rekreasi, perpustakaan perniagaan dan pusat pameran antarabangsa.

Projek itu juga meliputi pembinaan The Spine yang menghubungkan Kompleks PKNS, SACC dan semua kawasan pembangunan tersebut.

Jelas Mahmud, projek tersebut setakat ini dijangka hanya melibatkan perobohan SACC Mall bermula hujung 2026 atau awal 2027.

“Berdasarkan perancangan awal, pusat beli belah itu akan dirobohkan bagi pembinaan sebuah pusat pameran bertaraf antarabangsa. Lebih 100 peniaga SACC Mall sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan mereka akan dipindahkan ke Plaza Alam Sentral atau pusat beli belah Datum Jelatek,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, PKNS sebagai sebuah konglomerat besar juga akan menerokai bidang perniagaan baharu selepas usia kepimpinannya kini berusia enam dekad.

“Ia antaranya meliputi sektor berbeza termasuk tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa, penjagaan kesihatan, hospitaliti dan teknologi.

“Kami komited menyelaraskan amalan terbaik industri dengan meneruskan peranan sebagai sebuah agensi kerajaan Selangor dan rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN