PETALING JAYA: Seorang pemilik akaun aplikasi media sosial X dicari polis selepas dipercayai membuat hantaran bertujuan mengaibkan anggota trafik di platform itu.
Tindakan itu selepas satu laporan diterima polis berhubung hantaran yang tular pada pukul 7.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pemilik akaun aplikasi X menggunakan nama ‘Syedewa’ dikesan memuat naik gambar pegawai polis yang sedang menjalankan tugas sekatan jalan raya (SJR) di Damansara Damai pada pukul 10.45 pagi, Selasa lalu.
“Hantaran berkenaan bertujuan mengaibkan imej pegawai polis yang sedang menjalankan tugas.
“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, polis kini sedang mengesan pemilik akaun terbabit untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau saksi kes itu menghubungi Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222.
Terdahulu, tular dalam media sosial hantaran mengenai tindakan anggota polis dikatakan cuba mengeluarkan saman terhadap pemandu kereta yang didakwa tidak memakai tali pinggang.
Menerusi hantaran itu, dia mendakwa meminta bukti kesalahannya namun anggota terbabit menyuruhnya menyelesaikan kes di mahkamah.
Pemilik akaun itu turut memuat naik gambar menunjukkan anggota polis trafik terbabit. – UTUSAN







