‘Perpecahan tidak pernah terjadi kerana orang bawahan’

‘Perpecahan tidak pernah terjadi kerana orang bawahan’

“Isu perebutan jawatan semakin merebak ke bawah dan ini tidak boleh dibiarkan terus berlaku.” - Dr. Azhar Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Trend perpecahan dalam kalangan pemimpin berlaku sejak kurun ke-19 dan trend tersebut diakui masih berlaku sehingga hari ini susulan perebutan kuasa dalam kalangan mereka dan akhirnya menyebabkan perpecahan di peringkat bawahan.

Mengambil iktibar daripada perkara itu, Ketua UMNO Bahagian Beruas, Senator Datuk Dr. Azhar Ahmad berkata, sudah sampai masanya untuk UMNO memainkan peranan penting dalam Kerajaan Perpaduan supaya gabungan ini diterima semua pihak.

Katanya lagi, meskipun masih ada yang menolak kerjasama yang melibatkan UMNO-Pakatan Harapan (PH), namun kefahaman perlu dibentuk dalam pemikiran khususnya golongan muda, sekali gus ia merupakan cabaran besar dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Kita masih ada masa untuk membentuk pemikiran masyarakat. Isunya di sini adalah kita mesti kurang masalah dan sambung menyambung permasalahan yang berlaku. Untuk UMNO, di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, mesti perlu rapat dengan bahagian-bahagian dan bekerja dengan ahli parti.

“Ini kerana pemimpin tertinggi perlu tahu tiada dalam sejarah perpecahan yang wujudnya perpecahan itu dari orang bawah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengimbas kembali zaman selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), PH yang turut dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membentuk kerajaan di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Namun, kerajaan itu tumbang akibat Langkah Sheraton, kemudiannya ditubuh pula kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga hanya kekal 18 bulan sahaja, sehinggalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memimpin negara, dan akhirnya pentadbiran dibubarkan bagi membenarkan PRU15 diadakan.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, bagi mengelakkan kejadian sama berulang, pemimpin perlu ‘bulat’ dalam mencapai kata sepakat serta akur pada keputusan yang dibuat kepemimpinan parti.

“Maknanya pemimpin kita ini jangan banyak hal. Kalau mereka tidak banyak hal, rakyat pun tidak banyak hal. Isu perebutan jawatan semakin merebak ke bawah dan ini tidak boleh dibiarkan terus berlaku.

“Kita sebagai pemimpin di peringkat bahagian juga perlu mengingatkan kemenangan ini adalah ‘bulat’ dan untuk memperoleh kemenangan ini tidak ada lain formulanya..iaitu bersatu dan perlu ada nilai kesepaduan dalam kalangan ahli,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu,  Naib Presiden Puteri UMNO, Siti Sokhleha Nordin berkata, UMNO tidak lagi boleh mendabik dada dan merasakan parti itu adalah VIP jika ingin terus diterima rakyat.

Sebaliknya, katanya lagi, parti itu perlu menggunakan pendekatan terbaik terhadap generasi Z bagi mendepani PRU16.

“Tidak bolehlah UMNO fikirkan untuk rasa rakyat perlu bentang ‘karpet merah’ dan merasakan diri tu VIP seperti dulu lagi. Sikap itu semua perlu diubah, kita perlu santuni rakyat dengan cara yang lebih dekat sebagai formula terbaik untuk menjadikan UMNO kekal relevan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×