DUNGUN: Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah lori di persimpangan berhampiran Kampung Baru Kuala Abang, di sini, hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari, mangsa, Muhammad Abdul Aziz Ahmad Zainuddin, 18, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, difahamkan ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Demak sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Abang menghala ke rumahnya di Kampung Baru di sini.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah lori yang datang dari arah bertentangan secara tiba-tiba masuk ke simpang belah kanan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan merempuh lori tersebut.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut,” katanya.
Maizura berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Othman Ismail, 58, berkata, dia tidak menyangka perubahan sikap anak saudaranya yang memeluknya erat sebelum kejadian menjadi tanda akhir pemergiannya.
“Sebelum kejadian, dia ada datang ke rumah saya dan dia ada beritahu dia mahu pergi jauh dan mungkin tidak pulang.
“Saya tanya dia mahu ke mana, namun dia tidak menjawab dan memeluk saya sangat erat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Othman berkata, Muhammad Abdul Aziz yang tinggal bersama kakaknya, Nurul Fatihah, 29, sementara ayahnya, Ahmad Zainuddin Idris, 56, serta ibu dan empat adik beradiknya tinggal di Kemaman kerana bapanya bekerja di daerah itu.
“Difahamkan bapanya mahu menjemputnya hari ini untuk dibawa tinggal bersama di Kemaman, namun tidak tercapai,” katanya. – UTUSAN










