Mekanik dikhuatiri lemas jet ski ditunggangi terbalik - Utusan Malaysia

Mekanik dikhuatiri lemas jet ski ditunggangi terbalik

ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat Abdullah A. Mubin yang dikhuatiri lemas terjatuh jet ski di Sungai Terengganu berhampiran TTI, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang mekanik dikhuatiri lemas apabila jet ski ditunggangi terbalik di Sungai Terengganu berhampiran Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI), kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor, berkata, ketika kejadian mangsa, Abdullah A. Mubin, 44, dikatakan sedang menguji jet ski terbabit sebelum tiba-tiba terbalik.

Beliau berkata, saksi kejadian mendakwa melihat Abdullah cuba berenang ke tebing untuk menyelamatkan diri namun usaha itu gagal dan lelaki berkenaan tenggelam ke dasar sungai.

“Sejurus menerima maklumat kejadian berkenaan, polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Jet ski yang ditunggang mangsa ditemui dan telah ditunda ke sebuah bengkel yang terletak bersebalahan TTI.

“Operasi SAR turut disertai pasukan polis marin dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) daripada JBPM dan misi pencarian giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, berkata, 12 termasuk empat anggota PPDA terlibat dalam operasi SAR tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN