‘MCA, MIC perlu terus berada dalam BN’

‘MCA, MIC perlu terus berada dalam BN’

BN diyakini tidak akan terbubar ekoran keadaan yang ‘tersepit’ dihadapi MCA dan MIC bukan perkara baharu dalam parti itu,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Barisan Nasional (BN) diyakini tidak akan terbubar sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 memandangkan keadaan yang ‘tersepit’ dihadapi MCA dan MIC bukan perkara baharu.

Masalah tersebut sememangnya berlaku setiap kali menjelang PRU berikutan perebutan kerusi dalam kalangan parti komponen BN.

Namun, keadaan semakin kritikal apabila parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan, DAP mendominasi kerusi di kawasan bukan Melayu, sekali gus menyebabkan MCA dan MIC tiada ruang untuk bertanding dengan jumlah kerusi yang lebih banyak seperti yang disasarkan.

Penganalisis politik, Datuk Roslan Bian berkata, MCA dan MIC tiada pilihan melainkan terus kekal dalam BN dan menerima jumlah kerusi yang diberi, di samping memastikan kemenangan di kerusi berkenaan.

“MCA dan MIC tidak akan mendapat manfaat yang sama seperti mana duduk dalam BN. Ini kerana Bersatu, Pas mahupun Gerakan tidak akan berkorban untuk memberi kerusi mereka kepada MCA dan MIC sekiranya mereka mengambil langkah untuk bersama dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Untuk waktu sekarang, MIC dan MCA perlu menerima sebaiknya jumlah kerusi yang diberi BN, walaupun sedikit tetapi perlu pastikan kerusi tersebut menjanjikan kemenangan, ia lebih penting untuk MIC dan MCA,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Semalam, Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran berkata, parti itu perlu membuat keputusan berhubung kedudukannya dalam BN sebelum membincangkan soal pengagihan kerusi untuk PRU akan datang,

Kenyataan Vigneswaran itu menimbulkan persoalan jika MIC mungkin akan meninggalkan BN selepas berada dalam gabungan tersebut dan sebelumnya Perikatan sejak 72 tahun lalu

Begitu juga dengan MCA sebelum ini, Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon terkejut dengan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sehingga PRU16, namun menggunakan lambang masing-masing.

Jelas Sin Woon, perkara itu tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis turut berkata, keadaan akan menjadi lebih buruk jika MCA dan MIC keluar daripada

Barisan Nasional (BN) untuk membawa haluan sendiri.

“Ini kerana kekuatan kedua-dua parti itu umumnya adalah sebahagian daripada BN. Kerusi MCA yang dimenangi di Ayer Keroh antaranya juga kerana kekuatan UMNO di kawasan tersebut.

“Jadi, jika mereka keluar daripada BN, ia meletakkan parti dalam risiko sama ada dapat menarik undi bukan Melayu atau terus terbenam dalam dunia politik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN