PETALING JAYA: Penasihat kepada Majlis Antarabangsa Inisiatif Alam Sekitar Tempatan (ICLEI), Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif mencipta sejarah baharu apabila menjadi Wanita pertama dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur, berkuatkuasa, esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Beliau berkata, pelantikan Maimunah itu akan dapat meneruskan kesinambungan pengalaman dan sumbangannya untuk memimpin Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penuh integriti bagi memastikan kemampanan pembangunan, kecemerlangan dan kegemilangan berterusan ke arah Kuala Lumpur yang maju dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurut Dr. Zaliha, Maimunah, 63, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perancangan Bandar) dari University of Wales Institute of Science and Technology, United Kingdom sebelum melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains (Perancangan Bandar) di Universiti Sains Malaysia.
Katanya, Maimunah mempunyai pengalaman yang luas malah pernah menjadi Pengarah Eksekutif Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) yang yang berpusat di Nairobi, Kenya, selama enam tahun dan menjadi satu-satunya wanita Asia pertama yang memegang jawatan terbabit.
“Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai serta pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).
“Dengan pengalaman selama 39 tahun dalam perancangan bandar, penjanaan semula bandar dan pembangunan yang diterajui komuniti, beliau adalah individu yang bertanggungjawab mengembalikan kedudukan UN-Habitat sebagai peneraju pemikiran dalam perbandaran mampan.
“Beliau juga pernah diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Secretary-General’s Task Force on the Future Cities dan Pengerusi Bersama Local 2030 Coalition,” katanya. – UTUSAN










