KANGAR: Kerajaan negeri diharap dapat menghentikan polisi baharu melibatkan pembekuan peruntukan pengurusan dan infrastruktur kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilaksanakan sejak Mei lalu.
ADUN Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim berkata, pihaknya berharap ADUN-ADUN kawasan dapat diberikan semula hak untuk menguruskan peruntukan berkenaan demi menjaga kebajikan rakyat.
Beliau berkata, peruntukan tersebut sebelum ini dibekukan susulan isu integriti yang melanda kerajaan negeri dan kemudiannya diuruskan oleh Bahagian Pentadbiran Daerah (BPD).
“Saya bangkitkan supaya dipulangkan semula hak itu kepada ADUN untuk mengurus peruntukan berkenaan memandangkan ia adalah hak rakyat. Bila kita tanya pegawai berkaitan tapi tak ada maklum balas malah mereka juga tak tahu macam mana nak mulakan pemberian semula hak itu kepada ADUN.
“Apa yang saya sebutkan tadi supaya dipulangkan hak pengurusan peruntukan seperti infrastruktur yang hampir RM400,000 setahun untuk diuruskan oleh ADUN sendiri,” katanya ketika ditemui di Kompleks DUN, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd. Ridzuan dalam sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini meluahkan kekesalan selepas peruntukan tersebut dibekukan dan diuruskan oleh BPD sehingga menyukarkan pelaksanaan sesebuah projek di kawasan.
Dalam pada itu, Mohd. Ridzuan berkata, pihaknya juga turut meminta agar kerajaan negeri dapat mempertimbangkan bagi menambah peruntukan pengurusan tahunan pusat khidmat dari RM50,000 kepada RM100,000.
“Malah saya turut minta tambahan peruntukan pengurusan bulanan daripada RM3,000 kepada RM5,000 kerana negeri-negeri lain kadarnya lebih tinggi.
“Kita sebagai kerajaan negeri mestilah utamakan bab-bab pengoperasian untuk bagi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










