KUALA TERENGGANU: Kempen promosi pelancongan Jelajah Beautiful Terengganu, ‘Pakat Maghi Terengganu 2024’ diteruskan di Johor sebagai destinasi pilihan ketiga selepas Kedah dan Pahang dengan membawa penggiat industri ke selatan tanah air, semalam.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Sulaiman Sulong berkata, program itu adalah kerjasama erat kerajaan negeri Terengganu menerusi Jabatan Pelancongan Negeri untuk meneruskan sinergi promosi dalam negara.
Katanya, program memperkasakan kempen promosi sektor pelancongan dan kebudayaan negeri tersebut yang turut mendapat kerjasama Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu memfokuskan segmen pelancongan tertentu dalam menarik lebih ramai pengunjung ke Terengganu.
“Di Johor, pasarannya lebih luas kerana kita juga dapat menarik kedatangan pelancong Singapura memandangkan mereka juga adalah peminat alam semulajadi dan pulau-pulau peranginan di Terengganu.
“Kempen kali ini memberi peluang kepada pengusaha resort dan hotel serta usahawan batik dan makanan tradisional di Terengganu untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada penduduk di zon selatan.
“Alhamdulillah, hasil maklum balas yang diterima daripada peserta mendapati mereka telah mendapat jaringan potensi untuk memperluaskan perniagaan dan lokasi resort serta hotel dengan baik sepanjang kempen berlangsung,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Kempen ke Johor kali ini melibatkan lebih 17 penggiat industri pelancongan yang terdiri daripada pengusaha hotel, agensi kerajaan, agensi pelancongan dan pengusaha produk nasi dagang serta keropok lekor
Sementara itu, Pengerusi MAH Terengganu, Suaibah Harun berkata, program tersebut yang menggunakan kaedah Business to Business (B2B) adalah antara sinergi terbaik bagi melonjakkan lagi promosi pelancongan ke Terengganu.
“Penggiat pelancongan Terengganu turun padang dan bertemu sendiri dengan pemain industri di Johor untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang mereka sediakan.
“Industri pelancongan Terengganu semakin baik dan kami optimis program ini akan terus memberi impak positif untuk meningkatkan lagi bilangan pelancong termasuk pada musim tengkujuh nanti.
“Kami di MAH Terengganu sentiasa bersedia untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan agar percutian orang ramai ke fasiliti penginapan kami terus menjadi pilihan pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN











