Jalan lama 'timbul' selepas paras empangan Teluk Bahang menyusut

Jalan lama ‘timbul’ selepas paras empangan Teluk Bahang menyusut

JALAN lama yang menghubungkan Teluk Bahang ke Balik Pulau (anak panah merah) dikatakan timbul semula akibat cuaca panas dan kering yang berpanjangan di sekitar Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Cuaca panas dan kering yang berlarutan memberi kesan kepada Empangan Teluk Bahang yang merupakan salah satu daripada empangan utama yang membekalkan air kepada pengguna di Pulau Pinang khususnya di sebelah pulau.

Penyusutan paras air di empangan tersebut pada masa ini juga telah menyebabkan sebatang jalan lama yang menghubungkan Teluk Bahang ke Balik Pulau sebelum ini timbul semula.

Difahamkan, jalan berkenaan telah wujud sebelum Empangan Teluk Bahang dibina iaitu pada tahun 1990-an dan ia hanya boleh dilihat semula apabila air empangan menyusut.

Menurut salah seorang penduduk tempatan, Mohd Danial Ali, 40, jalan lama berkenaan akan timbul semula sekiranya hujan tidak turun dalam tempoh yang lama di kawasan empangan.

“Jalan lama itu sebenarnya telah beberapa kali timbul dalam tempoh setahun dua ini kerana musim panas dan kering yang berpanjangan.

“Untuk pengetahuan, sebelum empangan ini dibina, kawasan di sekitar empangan adalah laluan utama penduduk untuk ke Balik Pulau dan selepas adanya empangan, jalan berkenaan telah ditenggelami oleh air.

“Sementara itu, jalan baharu pula dibina bagi menggantikan jalan lama yang telah tenggelam ini untuk menghubungkan Balik Pulau dan Teluk Bahang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melalui laman sesawangnya memaklumkan, kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang masih menunjukkan trend menurun ketika ini.

Katanya, dalam tempoh kurang seminggu, empangan tersebut merekodkan penurunan sebanyak 0.8 peratus iaitu daripada 27.4 peratus pada Khamis lalu kepada 26.6 peratus hari ini.

Terdahulu iaitu pada 2 Ogos yang lalu, PBAPP turut mengadakan solat hajat istisqa di pekarangan Empangan Teluk Bahang bagi memohon hujan berikutan cuaca kering yang agak berpanjangan sehingga menyebabkan kapasiti efektif di empangan berkenaan menyusut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN