GEORGE TOWN : Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo yang sepatutnya kembali bertugas hari ini telah diberikan lanjutan cuti iaitu sehingga Jumaat ini.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Kon Yeow, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat itu kini berada dalam keadaan yang baik dan stabil.
“Atas nasihat doktor, beliau (Jagdeep) telah memohon supaya cutinya dilanjutkan sehingga 9 Ogos ini (Jumaat). Maka, saya bersetuju (cuti Jagdeep dilanjutkan) bagi membolehkan beliau meneruskan rawatan diperlukan,” katanya.
Jagdeep sebelum ini telah memohon cuti selama 11 hari iaitu sehingga hari ini untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan prosedur pada kaki kirinya.
Tindakan tersebut bagaimanapun mencetuskan spekulasi bahawa pemimpin tersebut telah diarah untuk bercuti daripada tugasnya dalam pentadbiran negeri atas sebab-sebab yang tertentu.
Bagaimanapun, Kon Yeow tampil menafikan perkara itu dan menjelaskan bahawa beliau telah meluluskan cuti tersebut bagi membolehkan Jagdeep mendapatkan rawatan berkenaan.-UTUSAN










