Budak perempuan maut dipercayai didera ibu kandung, bapa tiri

Budak perempuan maut dipercayai didera ibu kandung, bapa tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Bandar Tasik Puteri, Rawang dekat sini kelmarin.

Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima makluman pada 3.27 petang berkaitan seorang kanak-kanak perempuan telah meninggal dunia di lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, siasatan mendapati mangsa disahkan meninggal dunia di rumahnya oleh pembantu perubatan Hospital Sungai Buloh.

Katanya, pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian muka, bibir, paha, dagu dan lutut.

“Terdapat kesan lebam di muka, tangan, kaki dan badan mangsa dipercayai dicederakan dengan tangan atau kaki, tali pinggang, penyangkut baju dan senjata tumpul.

“Susulan itu, kita menahan bapa tiri mangsa berusia 29 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan serta ibu kandungnya berusia 28 tahun yang juga pembuat aiskrim di sebuah rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa yang bersekolah darjah dua di kawasan berkenaan didapati tidak hadir ke sekolah itu sejak Jun lalu.

“Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 24 Ogos depan. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu siasatan.

“Mereka boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintenden Mohd. Hamizan Mohamad Yunus di talian 013-8348384 atau Bilik Gerakan IPD Gombak (03-61262222),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×