Bot karam: Ahli keluarga harap dua mangsa ditemukan segera

Bot karam: Ahli keluarga harap dua mangsa ditemukan segera

BEBERAPA ahli keluarga yang berkumpul menunggu berita pencarian mangsa bot karam yang hilang di Pangkalan Hadapan Carilamat di Zon Maritim Kemaman di sini, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Selepas lebih 24 jam insiden bot karam  dilanggar tongkang di perairan Kemaman, ahli keluarga kepada  dua mangsa yang hilang  berharap mereka ditemukan secepat mungkin walau dalam apa juga keadaannya.

Mereka yang belum ditemui  ialah Yusuf Kassam, 66, dan Aina Husna Mohamad Husani, 25. 

Anak kepada Yusuf, iaitu Mohd. Azad, 37, berkata, dia dan beberapa ahli keluarganya dari Raub, Pahang tiba di Kemaman kira-kira pukul 4 petang semalam selepas mendapat berita buruk tersebut. 

Menurutnya, dia tidak menyangka pemergian bapanya ke Terengganu untuk mencandat sotong bersama dua rakannya iaitu Mat Ali Alahan, 66, dan Rosnawi Harun, 50, bertukar tragedi. 

“Bapa saya memang sudah biasa ke Terengganu bersama rakannya untuk mencandat dan memancing.  Ayah saya gemar memancing di merata tempat. 

“Sebelum bertolak ke sini kelmarin, ayah saya sempat bersarapan di rumah bersama ibu,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Carilamat di Zon Maritim Kemaman di sini, hari ini.

Mohd. Azad berkata, atas faktor kesihatan ibunya yang berkerusi roda  dinasihatkan untuk tidak datang ke Kemaman. 

Menurutnya, kali terakhir bapanya menghubungi ibunya ialah kira-kira pukul 2.30 petang sebelum mereka turun ke laut. 

“Kami sangat berharap agar ayah dapat ditemukan segera dan kami turut melakukan solat haja semoga ditemukan semula dalam keadaan apa sekali,” katanya. 

Insiden  kira-kira pukul 6.30 pagi itu mengorbankan dua mangsa iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, yang berasal dari Selayang, Selangor dan tekong tempatan, Shahril Ismail, 50. 

Lima mangsa lain iaitu  Rosnawi Harun, 50, Ain Farhana Mohamad Husani,30, Haziyah Harun, 64, Mat Ali Alahan, 66, dan tekong, Saipul Ridzuan Osman, 50, terselamat selepas bergantung pada tong ikan dan barang-barang yang terapung selama dua jam sebelum diselamatkan bot nelayan tempatan yang kebetulan melalui lokasi kejadian.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN