KLANG: Mangsa terakhir tragedi bot karam di perairan berhampiran Permatang Sedepa (One Fathom Bank) di sini, pada 13 September lalu iaitu Raja Mohd. Rozi Raja Mohamad, 49, ditemukan di Kuala Kurau, Perak, petang semalam.
Jasad pemancing yang dikenali sebagai Tok Penghulu itu ditemukan oleh nelayan tempatan dalam keadaan terapung lengkap berpakaian iaitu baju berwarna biru dan seluar celoreng di perairan berhampiran muara Sungai Kurau kira-kira pukul 5.25 petang.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kapten Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mayat lelaki itu ditemukan pada jarak kira-kira 4.5 batu nautika barat daya Kuala Kurau.
Katanya, mangsa ditemukan nelayan yang kemudian menghubungi Zon Maritim Kuala Kurau bagi memaklumkan pertemuan tersebut.
“Bot Maritim Benteng 03 digerakkan ke lokasi dan mayat dibawa ke Jeti Polis Marin Kuala Kurau kira-kira jam 7.30 malam sebelum diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Taiping bagi proses pengecaman rasmi.
“Identiti mangsa Raja Mohd Rozi Raja Mohamad, 49 tahun, melalui isteri mangsa mengesahkan pakaian terakhir adalah milik mangsa yang dipakai semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, Maritim Malaysia menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama enam hari susulan kejadian tersebut, namun hanya enam daripada tujuh mangsa ditemui dan empat daripadanya disahkan selamat.
Dua minggu lalu, dua mangsa disahkan meninggal dunia selepas ditemukan di perairan berhampiran Bagan Sungai Belukang, Perak iaitu kira-kira 43 kilometer dari lokasi bot dinaiki mereka karam.
Mangsa disahkan meninggal dunia iaitu Mohd. Shahril Abd. Rahman, 45, yang ditemukan pada hari ketiga SAR dijalankan dan Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, yang ditemukan pada keesokannya di perairan sama.
Sementara mangsa yang terselamat dalam tragedi tersebut iaitu Mohd. Shairazi Abd. Aziz, 43; Muhd. Hamiszar Puniran, 45; Mohd. Rizal Sadali, 45, dan Zulfilkalnain Awang, 47, yang merupakan seorang tekong.
Bagaimanapun, SAR mangsa terakhir tragedi bot karam di Permatang Sedepa (One Fathom Bank) pada Ahad lalu ditamatkan pada 20 September lalu selepas pencarian yang memasuki hari keenam itu tidak memberikan sebarang penemuan atau petunjuk bagi mengesan mangsa terakhir.
Tragedi yang menimpa tujuh pemancing itu didakwa berpunca daripada bot dinaiki mereka bocor akibat dipukul ombak besar.
Bot mereka dilaporkan terbalik selepas dipukul ombak kali kedua selepas tekong berjaya mengikat tali pada tangga di Rumah Api One Fathom Bank, namun terputus dan menyebabkan mereka hanyut memasuki laluan kapal dagang. – UTUSAN











