NIBONG TEBAL : Program Football for Schools (F4S) yang membabitkan 237 buah sekolah terpilih di seluruh negara menjadi salah satu platform bagi mengintegrasikan bola sepak ke dalam sistem pendidikan dan kurikulum nasional.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program terbabit melibatkan modul yang sangat penting iaitu bukan sahaja berkisar tentang pembangunan bola sepak, sebaliknya, turut membangunkan karakter pelajar.
“Saya sendiri melihat para peserta berlatih dan setiap stesen (latihan) meletakkan beberapa ‘keyword’ penting dalam soal pembangunan diri anak-anak.
“Sebagai contoh, pengurusan berkaitan dengan konflik, maknanya, ketika bermain, bukan sahaja soal jasmani tetapi juga emosi dan intelektual mereka mesti dibangunkan.
“Saya sangat percaya dan yakin bahawa dengan penglibatan FIFA yang lebih aktif selain komitmen (yang dijalinkan) bersama Kementerian Pendidikan, kita akan dapat menerima lebih banyak bakat untuk Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program FIFA Football For School dan Kempen Bola Sepak Wanita FIFA di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram.
Program berkenaan diperkenalkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan kerjasama UNESCO. Di Malaysia, ia melibatkan kerjasama antara FAM dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan disertai oleh kira-kira 1,000 pelajar terpilih di negeri ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, program terbabit bukan sahaja memberi tumpuan kepada bakat sukan, tetapi juga memberi ruang untuk mengasah bakat anak-anak yang kurang berkemampuan.
“Kita bagi ruang kepada anak-anak di luar bandar untuk sertai kita selain memberikan ruang dan peluang yang sama rata untuk semua anak-anak.
“Mudah-mudahan ia (program kerjasama) akan diteruskan dari semasa ke semasa dan lebih banyak bakat dari Malaysia kita akan bangunkan khusus untuk potensi sukan bola sepak serta pembangunan karakter,” katanya.-UTUSAN










