KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi sebentar tadi menolak permohonan injunksi sementara bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim untuk menghalang Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadualkan diadakan pada 17 Ogos ini.
Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain turut menetapkan saman pemula yang dikemukakan oleh Mohd. Azizi terhadap empat pihak didengar pada 18 Disember ini.
Beliau berpendapat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak sepatutnya dihalang melaksanakan fungsi keperlembagaannya untuk mengendalikan PRK DUN Nenggiri.
Pada 24 Jun lalu, Mohd. Azizi, selaku plaintif memfailkan saman pemula dengan menamakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan SPR sebagai defendan.
Menerusi saman pemula itu, Mohd. Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang ketika itu memohon deklarasi bahawa PRK DUN Nenggiri tidak boleh diadakan atau dikendali oleh SPR kerana ia masih dipegang oleh beliau.
Beliau turut memohon deklarasi mahkamah bahawa pemecatannya daripada Bersatu melalui notis bertarikh 12 Jun lalu adalah tidak sah kerana notis itu sendiri tidak sah manakala pemecatannya dibuat dengan niat jahat. – UTUSAN










