Air tiga empangan di Kedah mencukupi

Air tiga empangan di Kedah mencukupi

DR. Ismail Salleh (kanan) menunjukkan pelan pengurusan air kawasan MADA dan operasi Empangan Pedu di Alor Setar, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Paras air di tiga empangan di Kedah masih mampu menampung keperluan semasa terutama bagi kegunaan domestik, pertanian dan industri di negeri itu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, jumlah keseluruhan takungan di ketiga-tiga empangan itu iaitu Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning kini adalah 41.97 peratus.

Menurutnya, takungan air itu juga mampu menyokong pengairan tanaman padi untuk musim pertama 2024 ketika ini dan dijangka boleh bertahan sehingga memasuki musim kedua 2024 tidak lama lagi.

Katanya, sumber air di ne­geri Kedah dikategorikan kritikal sekiranya paras takungan di Empangan Pedu menurun sehingga 15 peratus.

Katanya, pemantauan semasa paras takungan air di Empangan Pedu kini masih memiliki 37.02 peratus daripada kapasiti.

“Empangan Muda hanya kawasan tadahan air yang te­rus disalurkan ke Empangan Pedu melalui Terowong Saiong sepanjang 6.8 kilometer.

“Sebab itu paras di Empa­ngan Muda akan berubah secara drastik mengikut kea­daan semasa. Kalau hujan lama pa­rasnya naik dan jika kemarau macam sekarang paras air turun dengan cepat,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Dr. Ismail berkata, Empa­ngan Pedu pernah mencatatkan paras 11.21 peratus pada 15 April 1982 namun masih mampu menampung permintaan ketika itu.

“Sekiranya paras Empangan Pedu kini mencecah 15 peratus, maka amat wajar untuk kita berada dalam situasi panik tetapi kini bacaannya masih 37 peratus selain ramalan menjangkakan akan kembali hujan selepas ini.

Beliau berkata, Empangan Muda juga pernah menurun sehingga 2.7 peratus pada 6 Mac 1978 berbanding kini yang merekodkan bacaan sebanyak 7.44 peratus.

“Di Empangan Ahning pula, pada 29 Mac 2005, kita pernah mengalami penyusutan takungan kepada 27 peratus berban­ding sekarang yang mencatatkan 80.76 peratus.

“Justeru, jumlah keseluruhan takungan di ketiga-tiga empangan itu yang kini 41.97 peratus masih mencukupi untuk memenuhi permintaan dan keperluan semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN