76 PATI ditahan di Johor

76 PATI ditahan di Johor

SEBAHAGIAN daripada warga asing yang ditahan menerusi pemeriksaan di premis perniagaan dan rumah pekerja di sekitar Johor Bahru, Muar dan Mersing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri menahan 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) di 31 premis dan kuarters dalam tiga daerah menerusi beberapa siri serbuan pada Selasa dan Rabu lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, dalam Op Sapu di Mersing, lapan lelaki warga Indonesia berusia 23 hingga 54 tahun ditahan susulan pemeriksaan dibuat di lima buah premis termasuk rumah pekerja.

“Menerusi Op Bersama, Op Mahir dan Op Sapu di Muar pula, kita menjalankan pemeriksaan di sembilan premis dan berjaya menahan empat lelaki Bangladesh, enam lelaki Myanmar dan dua lelaki serta tiga wanita Indonesia.

“Tindakan diambil susulan aduan dan maklumat awam yang diterima menyatakan terdapat sejumlah warga asing bekerja tanpa pas yang sah serta tidak mempunyai dokumen perjalanan sah untuk tinggal di Malaysia,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Mohd. Rusdi, serbuan turut dijalankan di Johor Bahru menyaksikan sebanyak 17 premis diperiksa.

Menerusi operasi itu, tangkapan dibuat melibatkan 17 lelaki Bangladesh, tiga lelaki dan seorang wanita Indonesia, empat lelaki Myanmar, 25 lelaki dan seorang wanita India, seorang lelaki Pakistan serta seorang lelaki Sri Lanka.

Beliau memberitahu, semua mereka berusia 20 hingga 54 tahun.

“Mereka yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

“Mereka juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia selain Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu tinggal lebih masa,” katanya.

Tambahnya, semua tahanan kini ditempatkan di Depot Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×