175 mangsa kepala air berada di dua PPS - Utusan Malaysia

175 mangsa kepala air berada di dua PPS

AZIZI Mat Aris (kiri) meninjau lokasi runtuhan Jambatan Slim River-Behrang Ulu, di Slim River hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Seramai 175 individu membabitkan 42 keluarga yang terjejas dalam insiden kepala air dan empangan pecah di Slim Village, Slim River di sini, telah dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS).

Dua PPS di Masjid Jamek Kampung Pasir Sungai Muda dan di Masjid Jamek Slim Village itu masing-masing dibuka pada pukul 8.30 dan 11 malam, semalam.

Kampung yang terjejas membabitkan Kampung Orang Asli Sungai Bil; Kampung Sungai Bil; Kampung Lintah, Kampung Piong; Kampung Baru Slim Village; Kampung Sungai Muda dan Kampung Ulu Slim.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 6.30 petang ketika hujan lebat apabila berlaku pergerakan kepala air dari atas bukit melalui Sungai Bil dengan hujan berterusan mengakibatkan muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Geliting di Ulu Slim pecah dan air sungai melimpah ke kampung berdekatan.

Katanya, kepala air itu juga membawa banyak batang kayu dan sampah sarap yang menyebabkan beberapa jambatan runtuh.

“Berlaku tiga runtuhan jambatan termasuk Jambatan Slim River-Behrang Ulu yang merupakan laluan utama dari pekan Slim River ke Slim Village.

“Berikutan itu, beberapa mangsa terperangkap namun kesemuanya telah dipindahkan ke PPS membabitkan 175 orang.

“Hanya 19 orang yang berada di Eco Park Risda, Ulu Slim yang sedang dalam usaha untuk dibawa keluar dalam masa terdekat setelah air surut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi runtuhan Jambatan Slim River-Behrang Ulu, di sini hari ini.

Menurut beliau, pihak polis akan melakukan rondaan berkala di kawasan terjejas bagi mengelakkan jenayah pecah rumah berikutan penghuninya dipindahkan ke PPS.

“Selepas ini kita akan masuk ke fasa kedua iaitu menentukan kediaman penduduk yang ditinggalkan sementara berada dalam keadaan selamat dan tiada pencerobohan.

“Jadi, saya nasihatkan semua penduduk yang terlibat agar kunci rumah dan bawa barang berharga bersama ke PPS untuk keselamatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×