BUTTERWORTH : Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang mengarahkan 10 buah kontena yang membawa dagangan kayu seberat 251 tan metrik dari Latvia berpatah balik selepas kayu tersebut dikesan mengandungi kulat.
Jurucakap MAQIS negeri berkata, terdahulu, dagangan kayu yang dianggarkan bernilai RM203,726.78 itu tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam negara selepas pemeriksaan dilakukan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT) di sini, pagi tadi.
“Kulat jenis ‘Trichoderma sp.’ ditemukan pada kayu jenis White Birch Logs (Betula Pendula) dalam kesemua kontena yang ingin dibawa masuk.
“Kawalan ke atas perosak dan penyakit seperti kulat kayu adalah penting bagi memastikan industri pertanian negara terpelihara terutamanya melibatkan tanaman ladang dan lain-lain.
“Justeru, kesemua kontena diarah berpatah balik ke negara asal mereka (Latvia),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah beliau, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanah dan mikroorganisma yang mempunyai perosak adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kita (MAQIS) sentiasa komited untuk melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian, tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, produk pertanian, tanah dan mikroorganisma yang masuk atau keluar dari negara ini mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Kawalan di semua pintu masuk negara ini penting bagi menjamin masa depan industri pertanian negara,” katanya.-UTUSAN










