Menteri Pertahanan dipecat akibat dron - Utusan Malaysia

Menteri Pertahanan dipecat akibat dron

ANDRIS SPRUDS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIGA: Perdana Menteri Latvia, Evika Silina pada Ahad memecat Menteri Pertahanan, Andris Spruds selepas dron milik Ukraine dilaporkan melanggar dan mengenai kemudahan penyimpanan minyak di wilayah negara Baltik itu.

Silina menyatakan Spruds kini tidak lagi mendapat kepercayaan beliau mahupun orang ramai ekoran insiden itu.

“Insiden dron minggu lalu jelas menunjukkan kepimpinan sektor pertahanan gagal menunaikan janji mereka untuk memastikan ruang udara negara ini selamat,” tulis Silina di platform X.

Namun, Spruds menyatakan beliau sendiri sudah membuat keputusan untuk meletak jawatan. 

Spruds turut menuduh Silina terburu-buru mengumumkan pemecatannya atas sebab politik dan berbohong mengenai dakwaan beliau dan parti Progressives pimpinannya sudah dimaklumkan terlebih dahulu berhubung isu tersebut..

Insiden ini meningkatkan ketegangan dan kebimbangan keselamatan di negara-negara Baltik susulan konflik berterusan di Ukraine.

Beberapa negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang bersempadan dengan Russia baru-baru ini melaporkan kejadian dron tanpa pemandu Ukraine memasuki ruang udara mereka dan terhempas dan bukannya mengenai sasaran di dalam Moscow. 

Awal minggu lalu, pihak berkuasa Latvia berkata, dua dron yang dikenal pasti oleh tentera Russia sebagai pesawat tanpa pemandu jenis Lyuty milik Ukraine memasuki negara itu pada waktu malam. 

Salah satu daripadanya masih belum ditemui, manakala satu lagi menyebabkan kebakaran berhampiran bandar Rezekne, kira-kira 40 kilometer dari sempadan Russia.

Menteri Luar Ukraine, Andrey Sibiga mengulas mengenai kontroversi itu pada Jumaat, menyatakan beliau sudah berhubung dengan pihak Riga serta memohon maaf kepada tiga negara Baltik dan Finland. 

Pada masa sama, diplomat tertinggi Ukraine itu turut cuba mengalihkan sebahagian kesalahan kepada Russia.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN