KLANG: Kebakaran sebuah kontena yang dibawa oleh lori dekat Pelabuhan Klang di sini, hari ini membongkar penyeludupan lebih 17 tan metrik sisa elektrik dan elektronik (e-waste).
Ini kerana kandungan kontena itu diisytiharkan sebagai bijih timah dalam Bill of Lading dipercayai bagi menutupi penyimpanan sisa yang dilarang dibawa masuk ke negara ini.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Deputi Komisioner Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, kontena tersebut terbakar kira-kira pukul 7.05 pagi tadi sejurus tiba di Pelabuhan Klang.
“Hasil pemeriksaan mendapati kandungan sebenar kontena tersebut adalah 100 peratus e-waste dan bukannya bijih timah seperti yang diisytiharkan dalam dokumen penghantaran. Kontena berkenaan tiba di Pelabuhan Klang semalam dari luar negara dengan berat muatan sebanyak 17,237 kilogram.
Susulan kejadian tersebut, pemeriksaan bersama telah dijalankan oleh AKPS dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Siasatan awal mendapati e-waste tersebut merupakan barang dagangan yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 sebagaimana dipinda dan berkuat kuasa bagi pengimportan mulai 1 April lalu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, pengimportan barang dagangan tersebut adalah tertakluk kepada syarat dan kelulusan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kompeten sebelum dibenarkan memasuki Malaysia.
“Kes itu sedang disiasat oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengenal pasti pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang yang berkaitan, termasuk kesalahan melibatkan pengisytiharan palsu, pengimportan barang dagangan terkawal tanpa mematuhi syarat yang ditetapkan, serta mana-mana kesalahan lain di bawah undang-undang yang berkuat kuasa.
“Pihak berkuasa menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil secara tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN










