KUALA TERENGGANU: Seorang wanita mengalami kerugian RM1.6 juta setelah menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan tidak wujud sejak Disember tahun lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin, berkata, mangsa pada awalnya mahu membuat pelaburan ‘cryptocurrency’ selepas melihat iklan di sebuah laman sesawang.
Jelas beliau, wanita berusia 49 tahun itu kemudian bertindak mengisi borang di laman sesawang berkaitan sebelum dihubungi individu bernama Jasmine Yong melalui aplikasi WhatsApp.
“Selepas tiga bulan iaitu Mac lalu, individu tersebut menjemput mangsa ke dalam kumpulan WhatsApp atas nama ‘Crypto Currency’ sambil diarahkan untuk memulakan pelaburan.
“Mangsa yang tidak bekerja memindahkan sejumlah wang ke dalam sebuah akaun bank menggunakan duit keluarga dan jualan aset peribadi bermula 14 Mac sehingga 28 Jun lalu.
“Sindiket menjanjikan pulangan pelaburan sehingga mencecah RM90 juta namun mangsa belum menerima sebarang keuntungan sehingga kini,” jelasnya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Khairi lagi, mangsa mula mengesyaki sudah menjadi mangsa sindiket pelaburan berkenaan setelah semua mesej dan panggilannya disekat selepas membuat transaksi pembayaran.
Katanya, wanita tersebut kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, semalam, dengan jumlah kerugian yang dinyatakan berjumlah RM1.6 juta.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu dan orang ramai dinasihat lebih berhati-hati dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan,” katanya. – UTUSAN










