Lawatan ke AS beri gambaran positif untuk pasaran pelaburan P.Pinang

Lawatan ke AS beri gambaran positif untuk pasaran pelaburan P.Pinang

CHOW Kon Yeow ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Sidang Kemuncak Industri MedTech Malaysia 2026 di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menyifatkan lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini memberi gambaran positif mengenai pasaran pelaburan masa depan untuk Pulau Pinang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, hal ini demikian kerana, banyak sektor dilihat berpotensi untuk melabur di negeri ini disebabkan perkembangan yang dicetuskan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) ketika ini.

Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, rumusan lanjut serta perincian berkaitan akan dibuat oleh pihak InvestPenang yang turut-serta dalam lawatan berkenaan.

“Kesimpulan awal yang boleh dibuat ialah, lawatan itu memang membuahkan hasil yang baik serta positif. Tetapi, seperti biasa, pelaburan itu tidak datang hari ini. Mereka (pelabur) masih menjalankan penelitian sewajarnya serta memahami ekosistem dan tenaga kerja kita sebelum melabur di sini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa menghadiri Sidang Kemuncak Industri MedTech Malaysia 2026 di sini, hari ini.

Kon Yeow sebelum ini mengetuai misi pelaburan dan perdagangan selama lapan hari oleh kerajaan negeri ke AS bermula 28 September lalu yang antara lain bertujuan memperkukuh hubungan korporat, menarik pelaburan baharu serta mempromosikan beberapa inisiatif dari negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata, Pulau Pinang berjaya menarik pelaburan yang diluluskan berjumlah RM2.3 bilion dalam sektor teknologi perubatan (MedTech) membabitkan 40 projek untuk tempoh antara 2021 hingga suku pertama tahun ini.

Katanya, menerusi pelaburan itu juga, hampir 4,500 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan sekali gus menyumbang ke arah usaha untuk menghasilkan lebih banyak produk berkaitan kesihatan pada masa depan.

“Ketika ini, terdapat lebih 20 syarikat MedTech tempatan menghasilkan peranti yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) merangkumi implan ortopedik, instrumen pembedahan, produk penjagaan luka, produk pergigian, penyelesaian kawalan jangkitan serta bahan guna habis perubatan.

“Gabungan antara syarikat peneraju global dan syarikat tempatan ini secara tidak langsung menjadikan Pulau Pinang kini dikenali sebagai antara hab dengan keupayaan MedTech paling kukuh di Asia Tenggara, selain meletakkan negeri ini sebaris dengan hab pengeluaran luar pesisir yang sudah mapan seperti Puerto Rico, Ireland dan Costa Rica,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN