PETALING JAYA: Sultan Ibrahim hari ini ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 dalam istiadat yang berlangsung dengan penuh tradisi Kesultanan Melayu bagi meneruskan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan sejak 1957.
Istiadat itu mengulangi sejarah empat dekad lalu apabila ayahanda Seri Paduka iaitu Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail menjadi Yang di-Pertuan Agong kelapan bermula 26 April 1984 hingga 25 April 1989.
Ia sekali gus melengkapkan pusingan kedua Kesultanan Johor dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong, di samping menandakan permulaan pemerintahan Sultan Ibrahim sebagai Ketua Negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
ISTIMEWA
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong mempunyai keistimewaan tersendiri lebih-lebih lagi apabila persiapan yang diatur mendapat sentuhan peribadi Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Antara perkara diperincikan Seri Paduka berdua adalah mengenai persiapan Majlis Santapan Diraja, Cendera Kenangan yang akan diterima tetamu dan perhiasan bagi setiap acara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Sultan Ibrahim mengambil alih tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari lalu menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari.

Mengenakan pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong yang reka bentuknya berasal dari Muskat dengan bercorak awan larat dan bunga raya, bunga kebangsaan Malaysia selain ditekat pada kain sakhlat menggunakan benang emas.
PERTAMA KALI
Seri Paduka juga mengenakan tengkolok yang dipakai oleh pendahulu baginda iaitu dengan lipatan dikenali sebagai ‘dendam tak sudah’ dengan bermotifkan daun gambir dan lada hitam yang kali pertama kali digunakan.
Sultan Ibrahim juga menggunakan peralatan kebesaran istiadat seperti Pending Diraja yang sama digunakan oleh Almarhum Sultan Iskandar ketika ditabalkan sebagai Ketua Negara suatu masa dahulu.
Sementara, Raja Permaisuri Agong mengenakan persalinan yang dihasilkan seorang pereka terkemuka tempatan.
Istiadat pertabalan bermula dengan keberangkatan tiba tetamu diraja termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain, Hamad Bin Isa Al Khalifa serta Raja-Raja Melayu.
Antara lain, istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara itu turut menyaksikan upacara mempersembahkan keris kerajaan iaitu Keris Panjang Diraja yang melambangkan pemusatan kuasa Yang di-Pertuan Agong selain tembakan meriam sebanyak 21 das akan dilepaskan.
NOBAT
Elemen lain menonjolkan keunikan tradisional Raja-Raja Melayu adalah penggunaan Nobat Diraja Perak yang amat simbolik kerana Raja Permaisuri Agong merupakan anakanda kepada Almarhum Sultan Perak ke-33, Sultan Idris Shah II Sultan Iskandar Shah dan Raja Perempuan Perak, Raja Perempuan Muzwin Raja Ariff Shah.
Nobat Diraja Perak pernah dimainkan semasa Istiadat Perkahwinan Diraja Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 22 September 1982.
Difahamkan, Sultan Ibrahim sendiri memohon perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah untuk menggunakan Nobat Diraja Perak pada istiadat kali ini dengan memainkan tiga lagu iaitu Raja Berangkat (tiba), Nobat Pertabalan (pertabalan) dan Raja Berangkat (pulang).
Acara istiadat pertabalan bermula malam semalam dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Negara dan semalam pula, semua masjid seluruh negara menyampaikan bacaan Khutbah Jumaat Khas yang memberikan penjelasan serta peringatan kepada umat Islam agar mengenai kepentingan institusi Raja Berperlembagaan.
ISTANA
Hari ini, Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong berlangsung pada pukul 10 pagi manakala pada sebelah malamnya akan diadakan Majlis Santapan Diraja juga di Istana Negara.
Acara sempena istiadat akan diteruskan dengan keberangkatan Raja Zarith Sofiah melawat Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai manakala pada 25 Julai akan diadakan Pameran Raja Kita di Muzium Negara yang memaparkan barangan peribadi Seri Paduka Baginda berdua antaranya kad pengenalan dan koleksi pen.
Acara istiadat pertabalan akan ditutup dengan Jamuan Teh Diraja pada 27 Julai. – UTUSAN











