Tiada lagi bekas polistirena, styrofoam di Perlis, peniaga berdepan denda hingga RM2,000 - Utusan Malaysia

Tiada lagi bekas polistirena, styrofoam di Perlis, peniaga berdepan denda hingga RM2,000

AFFENDI Rajini Kanth (kanan) meninjau salah sebuah kedai makanan berikutan larangan penggunaan bekas berasaskan polistirena dan styrofoam untuk membungkus makanan di Dataran Taman Sena, Kangar, Perlis, semalam-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Para peniaga makanan di negeri ini bakal berdepan denda sehingga RM2,000 jika masih ingkar menggunakan bekas berasaskan polistirena dan styrofoam untuk membungkus makanan selepas larangan mengenainya berkuat kuasa.

Penguatkuasan larangan tersebut dilakukan setelah notis pemberitahuan dikeluarkan kepada peniaga dan pemilik premis di negeri ini pada 7 Jun lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, tindakan boleh dikenakan ke atas pengusaha makanan terlibat yang dikenalpasti masih menggunakan bahan tersebut.

Affendi berkata, pelaksanaan larangan penggunaan bahan polisterina itu bakal melibatkan seramai 4,000 pengusaha premis makanan dan minuman sekitar Perlis.

Katanya, denda minimum sebanyak RM500 dan maksimum sehingga RM2,000 boleh dikenakan kepada pengusaha makanan yang gagal mematuhi peraturan tersebut mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Berikutan itu, kita juga mencadangkan pengusaha menggunakan alternatif lain seperti kertas putih bungkusan biasa atau bekas makanan tahan panas, beg kertas dan sebagainya,” katanya selepas mengadakan tinjauan di kedai-kedai makan berikutan pelaksanaan larangan penggunaan bahan polisterina dan styrofoam bagi membungkus makanan di Dataran Taman Sena di sini semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, dianggarkan sejumlah sembilan bilion tan pelbagai jenis plastik digunakan dan dibuang rakyat Malaysia setiap tahun, sekali gus dilihat menjadi punca utama kepada pencemaran laut dan mengancam kehidupan marin.

Menerusi data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2022, mendapati daripada 210,966 sisa plastik yang dihasilkan, hanya 33.16 peratus dikitar semula.

Perkara ini menyebabkan Malaysia direkodkan berada di tangga kelima tertinggi di dunia dalam isu pencemaran laut iaitu dengan kadar 2.29 kilogram (kg) plastik perkapita digunakan rakyat setiap tahun.

Tambah Affendi, berdasarkan pemantauan dilakukan, pihaknya mendapati peniaga mematuhi arahan tersebut dengan tidak lagi menggunakan bahan polisterina bagi membungkus makanan kepada pelanggan.

“Kita telah melakukan tinjauan di sekitar negeri ini termasuk kawasan Kangar, Padang Besar, Arau dan Kuala Perlis setelah lebih sebulan notis larangan itu dikeluarkan. Hingga ke saat ini tidak ada lagi laporan atau penggunaan bahan tersebut digunakan untuk membungkus makanan dikesan,” katanya.

Katanya lagi, selain melarang penggunaan bahan polisterina bagi membungkus makanan, MPK juga bakal menguatkuasakan larangan penggunaan penyedut minuman plastik dalam kalangan pengusaha premis bermula 1 Ogos ini.

“Untuk peringkat awal ini adalah tempoh bagi kita mendidik masyarakat terlebih dahulu malah saya juga telah minta penguatkuasa MPK untuk menasihati dulu sekiranya ada pengusaha yang masih menggunakan bahan polisterina untuk membungkus makanan.

“Kita akan bagi sedikit masa namun jika selepas itu mereka masih ingkar maka kita akan pastikan mereka berbuat demikian dalam masa seminggu hingga ke 10 hari,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN