Tawar 3,000 perjawatan tetap pegawai perubatan

Tawar 3,000 perjawatan tetap pegawai perubatan

Seramai 422 pegawai perubatan lantikan kontrak akan melengkapkan tempoh maksimum kontrak tujuh tahun pada bulan ini hingga November tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran menawarkan 3,000 kekosongan perjawatan pegawai perubatan menerusi pengambilan khas yang dijangka dilaksana Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bulan ini.

Langkah itu penting bagi mengatasi isu kekurangan doktor ketika ini susulan seramai 422 pegawai perubatan lantikan kontrak akan melengkapkan tempoh maksimum kontrak tujuh tahun pada bulan ini hingga November tahun ini.

Sehubungan itu Jurucakap Hartal Doktor Kontrak juga meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menawar gred lebih tinggi dalam pengambilan khas tersebut.

“Kekurangan doktor sekarang amat kritikal. Paling kurang 3,000 kekosongan jawatan perlu ditawarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jumlah perjawatan difikirkan sesuai untuk mengisi kekurangan pegawai perubatan di hospital kerajaan.

Ia susulan seramai 422 pegawai perubatan lantikan kontrak yang dijangka melengkapkan tempoh maksimum kontrak tujuh tahun mereka dan berpeluang memohon dalam urusan pengambilan khas yang dilaksanakan SPA itu.

Menerusi jawapan bertulis Parlimen bertarikh 11 Julai lalu, pegawai perubatan lantikan kontrak yang telah menamatkan tempoh dan yang telah meletakkan jawatan dengan kementerian serta yang menolak pelantikan tetap boleh memohon pengambilan khas itu.

Setakat berita ini ditulis, semakan menerusi laman web rasmi SPA mendapati, suruhanjaya itu belum mengeluarkan iklan berhubung pengambilan khas terbabit.

Mengulas lanjut, jurucakap hartal itu berkata, hampir 500 doktor yang bakal tamat tempoh kontrak tesebut sepatutnya terus diserap ke perjawatan tetap dan pada masa sama tetap membuka pengambilan urusan itu.

“Namun itu keputusan yang bagus daripada SPA dan Kementerian Kesihatan memandangkan ramai doktor yang dilepaskan begitu sahaja selepas habis kontrak.

“Malah ramai doktor yang sudah tinggalkan Kementerian Kesihatan tetapi sekarang ingin kembali untuk menabur bakti kepada rakyat.

“Kami bersyukur sebab akhirnya kerajaan bersetuju untuk melaksanakan langkah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN