Sidang DUN: Kerusi Selat Klang tidak dikosongkan - Utusan Malaysia

Sidang DUN: Kerusi Selat Klang tidak dikosongkan

Selat Klang
ABDUL RASHID ASARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San mengambil langkah senada dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk tidak mengosongkan kerusi bekas wakil rakyat Parti Bersatu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Keputusan tersebut dibuat Perkara LXV A 2(c) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 apabila bukti yang diberikan untuk menyokong notis kekosongan diberikan sebelum ini tidak mencukupi.

Menurut Weng San, malah tindakan pemberian notis berdasarkan undang-undang tersebut serta Perlembagaan Bersatu yang dipinda baru-baru ini disifatkan sebagai konstruktif terhadap Abdul Rashid supaya dikeluarkan daripada parti dan kerusinya dikosongkan.

“Pemberhentian keahlian ADUN Selat Kelang dalam Bersatu didapati sebagai satu constructive expulsion atau pemecatan terancang di bawah operasi Perkara LXV A 2(c) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

“Notis dan bahan bukti dari Yang Berhormat Hulu Kelang tidak memenuhi beban pembuktian yang diperlukan untuk membuktikan yang sebaliknya,” katanya pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Sidang DUN Selangor, hari ini.

Tambahnya, tindakan Abdul Rashid menyokong kepimpinan ADUN Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, pada Mei lalu, bukanlah satu maklumat pertama.

“Tiada bukti dokumen yang membuktikan pindaan perlembagaan Bersatu berkuat kuasa retrospektif, iaitu sebelum 1 April 2024.

“Peristiwa itu berasal daripada kedudukannya pada 6 Mac 2024 dan berlaku sebelum pindaan perlembagaan Bersatu berkuatkuasa oleh Pendaftar Pertubuhan bertarikh 1 April 2024,” jelasnya.

Utusan Malaysia pada 21 Jun lalu melaporkan, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan notis kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang kepada Pejabat Speaker DUN Selangor.

Beliau yang ADUN Hulu Kelang berkata, notis melibatkan kerusi Abdul Rashid dibuat mengikut Perkara LXV A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Dalam pada itu, sebaik keputusan tersebut diumumkan Abdul Rashid mengucapkan terima kasih kepada Weng San.

Pada 7 Jun lalu, Abdul Rashid digugurkan sebagai ahli Bersatu selepas tidak mematuhi arahan dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) partinya bagi menyatakan sokongan dan pendirian masing-masing.

Sebelum, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dilapor mengumumkan kerusi enam ahli Parlimen Bersatu dilaporkan kekal.

Kerusi mereka yang terlibat adalah, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) dan ADUN Selat Klang, Abdul Rashid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN