DUNGUN: Seorang jurujual maut manakala empat rakannya cedera selepas motosikal ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di Kilometer 363 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Bukit Besi, di sini, malam tadi.
Mangsa, Iqbal Juz Aidil Zaims Sharief, 19, berasal dari Marang mengalami kecederaan di kepala, meninggal dunia di Hospital Dungun dekat sini, kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Rakan mangsa, Muhammad Abdul Hannan Abdul Ghani, 19, pula mengalami cedera parah apabila bahu dan kaki kirinya patah.
Tiga lagi rakannya iaitu Faris Rahimi Arman, 17, Haziq Izham Arif Rahimi, 19, dan Muhammad Farhan Aqil Zainuddin, 18, hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, kemalangan melibatkan lima motosikal dan dua buah kereta jenis Honda Jazz dan Perodua Alza itu berlaku kira-kira pukul 11.30 malam.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang Iqbal Juz Aidil dari arah Kuantan menghala Kuala Terengganu tiba-tiba hilang kawalan dan terjatuh di atas lebuh raya.
“Berikutan jarak yang terlalu dekat, empat rakannya masing-masing menunggang motosikal cuba mengelak, namun terbabas dan berlanggar dengan dua buah kereta tersebut,” katanya ketika ditemui, di sini,
hari ini.
Maizura berkata, bagaimanapun pemandu dan penumpang Honda Jazz dan Perodua Alza tidak mengalami kecederaan.
“Kesemua mangsa yang tercedera dibawa ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan, bagaimanapun Iqbal Juz Aidil disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital tersebut,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










