Saifuddin nafi kempen PRK Sungai Bakap 'dikongkong' polis

Saifuddin nafi kempen PRK Sungai Bakap ‘dikongkong’ polis

SAIFUDDIN Nasution Ismail (tengah) ketika sidang akhbar mengenai perjalanan kempen Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Sungai Bakap, hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap tidak pernah dikongkong, dikawal atau diintip oleh pihak berkuasa.

Perkara itu ditegaskan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, dakwaan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang itu tidak berasas kerana keadaan semasa ketika ini adalah begitu bertentangan iaitu sangat aman dan tenteram sekali.

“Semua kelulusan berhubung penganjuran kempen PRK DUN Sungai Bakap ini diberi mengikut lunas undang-undang dan pada masa yang sama, ia langsung tidak menggambarkan keadaan yang didakwa iaitu penglibatan anggota polis yang ramai.

“Jadi, tujuannya apa (mendakwa PRK dikongkong oleh pihak berkuasa)? Tujuannya nak tunjukkan seolah-olah tidak wujud keadilan dari segi kempen yang sedang berjalan.

“Oleh itu, saya tepis semua (dakwaan yang dilemparkan) dan menasihatkan mereka supaya memberikan fokus kepada kempen seperti mana yang kami (Pakatan Harapan) buat. Saya harap mereka (pembangkang) fahamlah bahawa polis adalah pasukan penguatkuasa keselamatan yang terbesar di negara kita,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini.

Mengulas lanjut, Saifuddin turut meminta semua pihak agar menaruh kepercayaan yang penuh kepada pihak berkuasa khususnya anggota keselamatan yang bertugas sepanjang masa berkempen ini.

“Berdasarkan fakta, keseluruhan (perjalanan kempen) berjalan dengan baik. Jadi, ini penting untuk memberikan keyakinan kepada pemilih di Sungai Bakap pada 6 Julai nanti.

“Tak perlu rasa bimbang dan takut. Mereka patut keluar beramai-ramai kerana jaminan keselamatan itu dapat diberikan oleh pihak polis,” ujarnya.

Tambah beliau, setakat ini juga, hanya empat aduan diterima sejak kempen bermula 22 Jun lalu dan secara keseluruhannya, perjalanan kempen pilihan raya tersebut juga masih terkawal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×