Rumah terbakar, penenun songket hilang mata pencarian - Utusan Malaysia

Rumah terbakar, penenun songket hilang mata pencarian

HASNAH Mohamed melihat sebahagian daripada perkakas yang rosak selepas rumahnya terbakar di Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH TENGKU YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang penenun songket hilang mata pencarian selepas rumah didiami bersama suami dan tiga orang anak di Kampung Gong Tok Nasek hangus dijilat api, semalam.

Hasnah Mohamed, 59, berkata, kebakaran berlaku kira-kira pukul 4.30 petang itu disyaki akibat litar pintas selepas disambar petir menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Menurut Hasnah, sebelum kejadian dia sedang berehat di tingkat bawah rumah sambil menunggu waktu Asar sebelum dikejutkan bunyi dentuman kuat dan kepulan asap dari tingkat atas.

“Kejadian terlalu cepat dan api marak tidak sampai lima minit sehingga bekalan elektrik terputus manakala anak lelaki yang berada di tingkat atas terpaksa terjun untuk menyelamatkan diri.

“Semua kelengkapan menenun songket termasuk kain sutera, benang dan alat-alat dianggarkan lebih RM5,000 turut musnah termasuk kain songket yang sudah hampir siap untuk diambil pelanggan.

“Walaupun hilang mata pencarian dan tinggal sehelai sepinggang, saya bersyukur kami sempat menyelamatkan diri termasuk suami, Muhamad Kifli Omar, 62, yang tidak berapa sihat.

“Selain itu kebakaran itu turut memusnahkan sebuah rumah didiami dua beradik saya berusia lingkungan 50 dan 60-an yang terletak bersebelahan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jirannya, Mohd. Abdul Salam Mohamad Noh, 35, pula memberitahu, dia melihat panahan petir telah mengenai salah sebuah rumah milik keluarga berkenaan sebelum api marak dengan pantas.

Menurutnya, cuaca buruk hujan lebat yang melanda daerah itu petang semalam turut disertai bunyi guruh dan petir sehingga bekalan elektrik di kampung berkenaan terputus.

“Tidak sampai 10 minit kemudian kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana api sudah marak dan ada bunyi letupan kecil sebelum kami memaklumkan kepada pihak berkuasa,” ujarnya.

Sementara itu menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, seramai 23 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat panggilan kecemasan pukul 4.46 petang.

Beliau berkata, kebakaran melibatkan dua buah rumah dua tingkat jenis separuh kekal yang musnah lebih 80 peratus manakala sebuah lagi rumah setingkat terbakar lima peratus.

“Walaupun berdepan kesukaran kerana kedudukan rumah yang agak rapat, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 5.33 petang sebelum operasi tamat pada pukul 7.40 malam,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN