PETALING JAYA: Semua lebih 100 pusat pelupusan sampah yang ada di negara ini hanya mampu bertahan sehingga 10 tahun lagi apabila pembuangan plastik terus meningkat.
Ini disebabkan hampir 100 peratus rakyat tiada kesedaran mengenai pentingnya menjaga alam sekitar apabila penggunaan plastik terus menjadi budaya dalam kehidupan harian mereka.
Justeru, penggunaan plastik menjadi satu penyakit kepada alam sekitar kerana kesannya menyebabkan pencemaran pelbagai aspek seterusnya memberi ancaman kepada semua kehidupan termasuk laut.
Trend penggunaan plastik tersebut juga secara tidak langsung membuktikan kegagalan kempen tiada beg plastik lebih 10 tahun lalu yang tidak mendatangkan hasil.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr. Jacob George berkata, majoriti atau 100 peratus masyarakat masih bergantung kepada penggunaan plastik dalam sektor perniagaan dan harian.
Beliau berkata, mengikut pemantauan, golongan yang tidak menggunakan plastik adalah rendah dan tidak sampai lima peratus.
“Kita tidak boleh menafikan masyarakat juga tidak mempunyai tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar kepada generasi akan datang.
“Pada masa kini, pusat pelupusan sampah hanya boleh tampung sehingga 10 tahun lagi akibat penggunaan plastik yang terlalu banyak. Ini terbukti apabila terdapat kediaman-kediaman perumahan sudah menjadi ‘kubur’ plastik.
“Ini adalah satu kanser alam sekitar yang begitu teruk yang perlu diatasi serta mengenal punca-punca dan bekerjasama agar agenda positif dapat dicapai. Jika tidak diatasi, prestasi kebersihan negara akan jatuh ke peringkat paling rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam akhbar ini melaporkan, dianggarkan sejumlah sembilan billion tan pelbagai jenis plastik digunakan dan dibuang rakyat Malaysia setiap tahun, sekali gus merekodkan negara berada di tangga kelima tertinggi di dunia yang menyumbang kepada pencemaran laut dan mengancam kehidupan marin.
Menerusi data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2022, mendapati daripada 210,966 sisa plastik yang dihasilkan, hanya 33.16 peratus dikitar semula.
Perkara ini menyebabkan Malaysia direkodkan berada di tangga kelima tertinggi di dunia dalam isu pencemaran laut iaitu dengan kadar 2.29 kilogram (kg) plastik perkapita digunakan rakyat setiap tahun.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, pemakanan dan gaya hidup rakyat terus dilihat terlalu bergantung kepada penggunaan beg plastik.
“Ini menyebabkan lambakan beg plastik dalam sisa-sisa pembuangan sampah.
“Kita melihat dalam enam tahun lagi akan berlaku longgokan beg plastik yang sukar dilupuskan kerana untuk menghapuskannya mengambil masa 600 tahun,” katanya.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader pula berkata, pencemaran plastik telah meningkat seiring dengan pertumbuhan pengeluaran plastik dengan plastik sekali pakai menyumbang sehingga 50 peratus daripada jumlah pengeluaran.
“Kempen Bring Your Own perlu dipertingkatkan. Namun, bagi Kempen ‘No plastic’ ia perlu dikuatkuasakan dan juga diperluaskan ke sektor yang masih tidak terlibat,” katanya. – UTUSAN











