Pulau Pinang: KPDN lupus barang rampasan bernilai RM2.34 juta

Pulau Pinang: KPDN lupus barang rampasan bernilai RM2.34 juta

S. JEGAN (kiri) ketika menghadiri Program Pelupusan Ekshibit Mega KPDN Pulau Pinang di Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang hari ini melupuskan 49,488 unit pelbagai barangan rampasan yang dianggarkan bernilai RM2.34 juta.

Semua barangan terbabit adalah hasil rampasan dari awal tahun ini sehingga Jun lalu selepas selesai menjalani proses pendakwaan dan pengkompaunan.

Pengarah KPDN negeri, S.Jegan berkata, antara barangan yang dilupuskan terdiri daripada pelbagai jenama seluar, baju, kasut, topi, produk makanan, produk penjagaan kesihatan, aksesori serta peranti elektronik tiruan.

“Kesemua barangan itu hasil rampasan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Berdasarkan rekod, sepanjang tahun lalu sahaja kita telah melupuskan pelbagai barangan membabitkan 94 kes bernilai RM898,155.88 manakala bagi tahun 2022 pula, barangan melibatkan 29 kes bernilai RM 541,142.45 berjaya dilupuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Pelupusan Ekshibit Mega KPDN Pulau Pinang di Bukit Minyak, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jegan berkata, bermula 1 Januari sehingga 30 Jun lalu, pihaknya telah melaksanakan pemeriksaan terhadap 22,143 premis dan 233 tindakan kes dihasilkan melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM1.58 juta.

“Sebanyak RM94,600 nilai kompaun telah dikeluarkan melibatkan 124 kes manakala tiga kes pula melibatkan tindakan pendakwaan di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda berjumlah RM52,000,” katanya.

Dalam pada itu, Jegan turut memberi amaran kepada mana-mana individu atau sindiket supaya menghentikan kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan serta tidak terlibat dalam penjualan barangan tiruan.

“Pengguna juga dinasihatkan supaya berhati-hati dalam membuat pembelian harian terutama pembelian dalam talian dan jangan mudah terpedaya dengan sindiket penipuan ‘online’.

“Kita (KPDN) akan meneruskan tindakan penguatkuasaan dan mengambil tindakan yang tegas dan adil terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN