Polis sahkan dua rakyat Malaysia ditangkap cuba seludup dadah RM3.7 juta di Maldives 

Polis sahkan dua rakyat Malaysia ditangkap cuba seludup dadah RM3.7 juta di Maldives 

KHAW KOK CHIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tangkapan dua rakyat Malaysia yang cuba menyeludup dadah bernilai kira-kira RM3.7 juta ke Maldives.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya telah berhubung dengan pihak berkuasa Maldives berhubung perkara tersebut. 

“Pihak berkuasa Maldives mengesahkan terdapat tangkapan tersebut sepertimana dilaporkan dalam berita.

“Maklumat serta butiran kes akan disalurkan secepat mungkin oleh pihak berkuasa Maldives kepada JSJN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Bagaimanapun, menurut Kok Chin, siasatan tersebut dilakukan pihak berkuasa Maldives memandangkan tangkapan berlaku di sana. 

“JSJN akan membantu sekiranya diminta bantuan,” ujarnya. 

Media semalam melaporkan, dua warga Malaysia ditahan ketika cuba menyeludup dadah bernilai kira-kira RM3.7 juta ke Maldives.

Memetik Agensi, polis Maldives dilaporkan berkata, pegawai Kastam negara itu menemukan 15 kilogram (kg) ganja di dalam bagasi seorang warga Malaysia berusia 44 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana dengan penerbangan Emirates EK656 dari Dubai pada pagi, Sabtu lalu.

Superintenden Polis Mohamed Afzal dilaporkan berkata, ganja yang dirampas itu dianggarkan bernilai 12.3 juta rufiyaa Maldivian (RM3.7 juta) dan ujian awal mengesahkan bahan itu adalah ganja.

“Berikutan penemuan ini, Bahagian Penguatkuasaan Dadah kami memulakan operasi penghantaran terkawal. Operasi ini membawa kepada penahanan seorang lagi suspek, seorang lelaki warga Malaysia berusia 41 tahun, pada malam 28 Julai. 

“Siasatan kami sedang berjalan dan kami bekerjasama rapat dengan rakan penguat kuasa undang-undang antarabangsa untuk mengumpul maklumat tambahan,” lapor Agensi. 

Siasatan menunjukkan kemungkinan kaitan suspek dengan individu dari empat negara berbeza yang merupakan sebahagian daripada rangkaian pengedaran dadah antarabangsa.

Rampasan ganja itu adalah yang terbesar di Maldives tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN