Pindaan Akta Penagih Dadah tidak jejas kuasa pegawai perubatan

Pindaan Akta Penagih Dadah tidak jejas kuasa pegawai perubatan

AADK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang dibentang di Parlimen tidak akan menjejaskan kuasa dan peranan pegawai perubatan berdaftar.

Bekas Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, peranan pegawai perubatan masih sama seperti akta asal kecuali dalam perakuan kes sukarela bagi mempercepatkan proses rawatan dan pemulihan. 

Kata beliau, pindaan yang dibentangkan hanya membabitkan kes-kes rawatan dan pemulihan sukarela dan ia tidak memberi kuasa penuh kepada pegawai pemulihan AADK dalam membuat keputusan.

“Ia bertujuan mempercepatkan proses merawat dan memulihkan mereka yang terbabit dengan penagihan atau penyalahgunaan dadah serta bahan.

 “Ini bertepatan kerana pegawai pemulihan mempunyai kompetensi sesuai melalui latihan dan pensijilan khusus yang mereka perlu lalui,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini. 

Mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan pindaan RUU berkenaan tidak membabitkan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, beliau berkata, perkara itu adalah tidak wajar dan tidak tepat.

“Adalah tidak tepat untuk menyatakan bahawa tiada libat urus dibuat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

“Semasa saya menjadi Ketua Pengarah AADK lebih empat tahun lalu, kita memulakan libat urus dengan agensi lain dan NGO yang saya difahamkan berjaya merealisasikan penambahbaikan dalam draf terkini. 

“Saya secara peribadi berpendapat bahawa usaha melengah-lengahkan pelaksanaan akta ini tidak sihat dan boleh merencatkan pencapaian dasar Dadah Terkawal 2025,” jelasnya.

Beliau berkata, dengan cadangan pindaan RUU itu, tiada lagi sistem keadilan jenayah khususnya pemenjaraan terhadap penagih atau penyalahgunaan dadah serta bahan.

“Sebaliknya penagih dan penyalahgunaan dadah akan dirawat dan dipulih di fasiliti AADK  mengiku tahap keparahan kecuali bagi kes langgar syarat,” katanya. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Mohd Fadzli Mohamad Isa berkata, pihaknya menyambut baik usaha kerajaan meminda akta berkenaan bagi membantu penagih dadah mendapatkan rawatan. 

Namun, beliau berkata, akta yang dibentang dan dibahas di Parlimen pada minggu ini dilihat masih mempunyai dasar menjurus kepada penghukuman mereka yang menggunakan dadah. 

“Ini adalah seperti hukuman denda dan khidmat dalam komuniti serta hukuman kemasukkan mandatori ke dalam pusat pemulihan jika melanggar syarat. 

“Perkara sebegini adalah bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk menyahjenayahkan penggunaan dadah dengan menganggapnya sebagai sejenis penyakit perubatan dan kesihatan,”jelasnya. 

Beliau juga berpandangan bahawa proses rawatan dan pemulihan seharusnya dijadikan lebih mesra. 

Kata beliau, Ia boleh dilakukan dengan menggalakkan pengguna dadah mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela berbanding mandatori yang lebih bagus dilakukan di dalam komuniti berbanding dalam pusat pemulihan dadah. 

“Rawatan dan pemulihan dadah secara sukarela sudah dibuktikan lebih berkesan dan selari dengan unsur dekriminalisasi yang ingin dibawakan oleh akta yang dipinda ini. 

 “Pemulihan yang dijalankan di dalam komuniti akan membolehkan pengguna dadah kekal untuk meneruskan kehidupan seharian mereka,” katanya. 

tidak memberi kuasa penuh kepada pegawai pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tanpa pembabitan peranan pegawai perubatan berdaftar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN