Pesara tentera amang seksual anak rakan masa bulan Ramadan

Pesara tentera amang seksual anak rakan masa bulan Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pesara tentera dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dikenakan satu sebatan atas tiga kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan rakannya berusia 12 tahun, bulan Ramadan lalu.

Lelaki berusia 42 tahun itu mengaku bersalah melakukan ketiga-tiga perbuatan tersebut kira-kira pukul 3 pagi, 28 Mac lalu di ruang tamu rumah mangsa di kawasan Kinta, Perak.

Mahkamah Sesyen Ipoh memerintahkan bapa tunggal tiga anak itu dipenjara empat tahun bagi setiap tuduhan manakala tuduhan ketiga turut melibatkan sebatan.

Hakim Hilmiah Yusof memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa serentak bermula tarikh tangkap pada 29 Mac lalu. Tertuduh dihadapkan ke mahkamah pada 2 April lalu dan mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan.

Dalam penghakiman bertulis bertarikh 25 Jun lalu yang diperolehi pihak media melalui laman web mahkamah hari ini, hakim berkenaan menjatuhkan hukuman selepas membuat penilaian menyeluruh terhadap pengakuan bersalah, umur tertuduh, jenis kesalahan, kepentingan awam dan rekod lampau lelaki berkenaan.

“Mahkamah mendapati, selaku penanggung tunggal keluarga, pemenjaraan terlalu lama akan memberi kesan kepada anak-anak dan ibu tertuduh selain mengambil kira sumbangannya kepada negara sebagai pesara tentera,” ujar hakim berkenaan.

Pesara tentera yang telah berkhidmat selama 15 tahun itu merayu hukuman diringankan kerana menyesal dengan perbuatannya selain perlu menyara tiga anak yang masih bersekolah dan ibu yang telah uzur.

Dia yang tidak mempunyai rekod jenayah mempunyai masalah kesihatan iaitu sakit buah pinggang dan tulang belakang serta pernah menjalani pembedahan pada 2009.

Sementara itu, pihak pendakwaan memohon hukuman berat dan setimpal atas alasan mangsa seorang kanak-kanak dan perbuatan itu berlaku dalam bulan Ramadan di rumah mangsa manakala tertuduh merupakan rakan bapanya.

Fakta kes menyatakan, mangsa yang ketika itu sedang tidur di ruang tamu, tersedar dan melihat tertuduh di sebelahnya sebelum melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak tersebut.

Mangsa terlalu takut dengan perbuatan tertuduh namun tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya menghubungi ibu saudaranya selepas lelaki itu beredar. Kanak-kanak tersebut kemudian membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap hasil maklumat awam.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN