Pegawai SPRM, Datuk Roy gagal kaji pertuduhan rasuah 

Pegawai SPRM, Datuk Roy gagal kaji pertuduhan rasuah 

Mohd. Rasyidi Mohd. Said (berbaju putih) dan Mohd. Hussein Mohd. Nasir (berbaju batik) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sebutan ke rasuah RM640,000. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ahli perniagaan dikenali sebagai `Datuk Roy’ gagal mengkaji dua pertuduhan rasuah RM640,000 berkaitan tahanan reman terhadap anak bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu ditentukan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan oleh Mohd. Rasyidi Mohd. Said, 44, dan Datuk Roy atau nama sebenarnya Mohd. Hussein Mohd. Nasir, 55.

Status representasi itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan pada sebutan kes di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Menurut Farah Ezlin representasi yang dihantar oleh kedua-dua tertuduh pada 1 Julai lalu, ditolak oleh AGC semalam.

Mendengar perkara itu peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili kedua-dua tertuduh kemudian mengesahkan representasi itu ditolak.

Dengan keputusan itu, Hakim Suzana Hussin menetapkan 8 dan 9 Ogos ini bagi perbicaraan kes seperti mana yang ditetapkan sebelum ini.

Pertuduhan pertama, Mohd. Rasyidi dan Datuk Roy didakwa bersama-sama secara rasuah meminta untuk diri mereka atau bagi mana-mana orang lain suatu suapan wang tunai berjumlah RM400,000 daripada seorang wanita sebagai dorongan untuk tidak menahan reman Datuk Fakhri Yassin Mahiaddin semasa siasatan SPRM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bangsar, di sini, antara 9 dan 11 malam, 5 Mac tahun lalu.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa menerima suapan untuk diri mereka atau bagi mana-mana orang lain iaitu wang tunai berjumlah RM240,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak menahan reman individu sama semasa siasatan pihak SPRM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas, di sini, antara pukul 2 dan 4 petang pada 6 Mac 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman itu yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. 

Sementara itu, Mohd. Hussien turut didakwa atas satu lagi pertuduhan meminta rasuah wang berjumlah RM2 juta untuk dirinya daripada kedua-dua individu itu.

Ia sebagai dorongan untuk menukarkan pertuduhan yang lebih ringan, menukar keterangan tertuduh kepada saksi, dan mengurangkan wang jaminan terhadap kes pendakwaan yang dihadapi oleh ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Melayu Kepong, di sini, pada Februari 2023 dan pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×