KUALA NERUS: Tiga termasuk sepasang suami isteri maut apabila kenderaan yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan
di Jalan Mengabang Lekor, Batu Rakit di sini malam tadi.
Kemalangan pada pukul 9.15 malam itu melibatkan kereta Proton Wira yang dinaiki pasangan suami isteri yang maut iaitu
Muhammad Iqwan Ahmad Izeham, 23, dan Nur Mimi Aliya Mohd. Shukri, 18.
Seorang lagi mangsa yag meninggal dunia ialah penumpang kereta kenderaan pacuan empat roda, Nissan Navara, Zaini Ambak, 46.
Pemandu Nissan Navara iaitu suami Zaini, Rasdi Yaakob, 58, pula mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Zaini dan Rasdi yang menaiki kenderaan Nissan Navara dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Rahmat, Setiu dari Kampung Pak Tuyu di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Proton Wira dinaiki Muhammad Iqwan dan Nur Mimi Aliya dari arah bertentangan dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bersebelahan.
“Kereta Proton Wira itu kemudiannya merempuh kenderaan Nissan Navara dinaiki Zaini dan suaminya,” katanya di sini, hari ini.
Azli berkata, Zaini dan Nur Mimi Aliya meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Muhammad Iqwan pula menghembus nafas terakhir sewaktu menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Beliau berkata, mayat ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke unit forensik hospital sama untuk tindakan lanjut.
“Suami Zaini, Rasdi yang cedera pula menerima rawatan di hospital sama,” katanya. – UTUSAN










