ALOR SETAR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bahagian Alor Setar menggesa Barisan Nasional (BN) Kedah bermuhasabah diri dan melakukan ‘post-mortem’ di sebalik permintaan gabungan itu yang mahukan kerusi Parlimen Alor Setar.
Ketua AMK bahagian itu, Tan Jin Hao berkata, berdasarkan situasi pada hari ini, kerusi tersebut lebih wajar dikekalkan kepada PKR untuk ditandingi calon parti itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata, pada PRU lalu, jumlah undi kedua tertinggi diperolehi PKR yang mendapat 27,555 undi berbanding dengan calon BN yang hanya menerima 8,930 undi.
“PRU sebelum itu juga menyaksikan calon PKR, Chan Ming Kai memenangi kerusi Parlimen Alor Setar setelah mendapat 32,475 undi berbanding calon BN mendapat undi yang ketiga iaitu 14,181 undi.
“BN Kedah seharusnya muhasabah diri dan melakukan post-mortem bagi melihat penolakan rakyat Kedah sendiri.
“Bukan itu sahaja apabila penyokong-penyokong mereka turut beralih arah memberi sokongan kepada calon-calon Perikatan Nasional (PN) yang menjadi satu fenomena politik pada waktu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyokong usul UMNO Bahagian Alor Setar bahawa UMNO perlu kembali diberikan kerusi Parlimen Alor Setar serta salah satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ.
Mahdzir berkata, parti itu ada hak untuk meminta dan tiada salahnya untuk UMNO Bahagian Alor Setar berbuat demikian agar pucuk pimpinan menilai semula kesesuaian parti mana yang harus bertanding di Parlimen dan DUN tersebut.
Sementara itu, bagi permintaan terhadap kerusi DUN dalam Parlimen itu, Jin Hao berkata, BN juga hanya mendapat kedudukan ketiga dari segi sokongan pengundi pada PRU14 dan PRU15.
“Pada pilihan raya negeri (PRN) lepas telah dibawa berbincang mengenai rundingan kerusi antara BN dan Pakatan Harapan (PH). Kita sepakat dengan rundingan kerusi yang memberi kelebihan kepada BN yang mendapat 18 kerusi.
“Manakala PH yang turut diberikan 18 kerusi perlu dibahagikan kepada tiga parti komponen iaitu PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.
“Keputusan PRN itu menyaksikan BN tewas di kesemua 18 kerusi DUN ditandingi mereka dan sebaliknya PH daripada 18 kerusi yang bertanding berjaya memenangi tiga kerusi dan menjadi suara wakil pembangkang untuk hari ini,” katanya. -UTUSAN










