CAMERON HIGHLANDS: Pengeluaran lebih 30,000 tan metrik sayur-sayuran setiap bulan dengan anggaran nilai lebih RM30 juta untuk keperluan negara dan eksport, berisiko terjejas ekoran pelaksanaan penyasaran bahan api diesel.
Setiausaha Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands, Chay Ee Mong berkata, sayur-sayuran segar di tanah tinggi berkenaan mendapat permintaan 75 peratus pasaran domestik dan 25 peratus ke negara jiran seperti Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Hong Kong.
“Para petani Cameron Highlands hampir 1,000 orang menghasilkan sayur-sayuran segar 1,000 tan metrik sehari dengan anggaran nilai lebih RM2 juta bagi memenuhi permintaan tinggi tempatan dan luar negara.
“Ekoran kenaikan harga diesel, para pekebun terpaksa mengeluarkan modal besar kerana jentera utama seperti penjana kuasa, pam air dan kenderaan pacuan empat roda semuanya menggunakan bahan api diesel.
“Kita sudah pun menghantar memorandum berhubung perkara itu, namun tiada maklum balas sehingga kini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Ee Mong yang juga Naib Pengerusi Persatuan Pekebun Sayur Kebangsaan mengakui lebih 6,000 ahlinya di seluruh negara turut mengeluh dengan penghapusan subsidi diesel.
Menurutnya, pekebun yang sebelum ini berdepan kenaikan mendadak input pertanian seperti baja dan racun merayu kerajaan supaya merangka skim menang-menang berhubung perkara itu.
“Para pekebun di sini tiada pilihan selain meneruskan penanaman sayur-sayuran kerana itulah pekerjaan dan sumber pendapatan mereka turun-temurun,” katanya.
Ekoran kenaikan diesel katanya, harga sayur-sayuran dan bunga-bungaan di Cameron Highlands serta di kawasan tanah rendah dijangka meningkat beberapa peratus berikutan kos operasi bertambah.
Pengerusi Persatuan Pekebun India Cameron Highlands, S. Mathan, 44, yang mewakili 400 ahli berkata, mereka begitu terbeban dengan penghapusan subsidi diesel untuk meneruskan aktiviti ekonomi yang menjadi warisan keluarga sejak puluhan tahun.
“Kawasan kebun yang berbukit-bukit, tiada bekalan elektrik dan kami bergantung sepenuhnya kepada penjana kuasa untuk menyiram, membaja dan membawa kenderaan pacuan empat roda,” katanya. – UTUSAN










