Laporan dibuat terhadap Razali untuk bersih nama SPRM - Pegawai

Laporan dibuat terhadap Razali untuk bersih nama SPRM – Pegawai

RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, laporan polis dibuat terhadap Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris bertujuan membersihkan nama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penolong Kanan Penguasa SPRM, Muhamad Adib Azami, 40, berkata, beliau membuat laporan polis ekoran kandungan ceramah yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu menyatakan jentera-jentera kerajaan, SPRM dan hakim-hakim telah dikawal oleh kerajaan (Perdana Menteri Ke-10) yang memerintah negara ini.

Saksi pendakwaan kedua itu berkata, Razali juga mempertikaikan keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang mensabitkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman atas empat pertuduhan yang mana beliau percaya ia bersifat menghina mahkamah.

“Sebagai pegawai SPRM yang membuat siasatan terhadap Syed Saddiq, kes tersebut telah disiasat dengan telus manakala hukuman terhadap Syed Saddiq tidak melibatkan pengaruh daripada mana-mana pihak ,” ujar beliau dalam pernyataan saksinya.

Muhamad Adib berkata, beliau membuat laporan polis pada 15 November 2023 atas kapasiti peribadi selepas terlihat hantaran di aplikasi TikTok sehari sebelumnya yang mana Razali menyampaikan ceramah pada majlis pelancaran jentera pilihan raya kecil (PRK) P040 Kemaman pada 10 November 2023.

Sementara itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal, saksi berkata, durasi ceramah dibuat oleh Razali yang dilihat dalam TikTok selama dua minit.

Pendakwaan: Di dalam video TikTok itu, ada atau tidak orang lain selain YB?
Muhamad Adib: Saya tidak pasti kerana saya memfokuskan Datuk (Razali).

Pendakwaan: Bagaimana tahu YB itu adalah Razali?
Muhamad Adib: Sebab di kapsyen TikTok ada nama Datuk Razali Idris.

Dalam pada itu, ketika ditanya peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud pada pemeriksaan balas, saksi bersetuju bahawa laporan polis itu tidak melibatkan sebarang arahan SPRM atau mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali bersambung pada 27 September ini.

Pada 24 November 2023, Razali, 58, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan kenyataan menghasut yang menyifatkan keputusan institusi kehakiman dikawal oleh kerajaan dalam sebuah ucapan.

Mengikut pertuduhan, Razali didapati telah menyebut perkataan menghasut di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu antara pukul 9.30 malam dan 11.30 malam pada 10 November 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×