KPDN P.Pinang tahan pemandu pikap cuba seleweng petrol RON95

KPDN P.Pinang tahan pemandu pikap cuba seleweng petrol RON95

SEORANG lelaki tempatan ditahan oleh sepasukan anggota penguatkuasa KPDN Pulau Pinang ketika dikesan cuba menyeleweng petrol RON95 dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Nibong Tebal, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Seorang lelaki tempatan ditahan oleh sepasukan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan penyelewengan petrol jenis RON95 di sini, malam tadi.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, lelaki berusia 35 tahun ditahan ketika sedang mengisi minyak tersebut ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Katanya, penahanan itu dibuat susulan serbuan ke atas sebuah stesen minyak di sini dalam Ops Tiris 3.0 hasil maklumat yang diterima daripada risikan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut kemudian menjumpai sebuah tangki tambahan yang dipercayai digunakan untuk menyimpan petrol berkenaan.

“Secara keseluruhannya, sejumlah 750 liter petrol dianggarkan bernilai RM1,537.50 dirampas dalam serbuan berkenaan. Dalam serbuan yang sama, KPDN turut sebuah kenderaan (Toyota Hilux), satu unit tangki tambahan, tiga keping resit belian serta sebuah telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM37,337.50,” katanya di sini, hari ini.

Jegan berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan usaha kini sedang giat dilakukan bagi mengenal pasti individu mahupun syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan itu selain rantaian pengedaran bahan api terbabit.

“Dalam hal ini, KPDN Pulau Pinang akan terus komited dan konsisten dalam menggerakkan tindakan penguatkuasaan serta tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi diesel.

“Pada masa yang sama, masyarakat atau pengguna juga diseru untuk terus menjadi ‘mata dan telinga’ bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN