GEORGE TOWN : Polis berjaya menumpaskan satu sindiket memproses serta mengedar dadah jenis syabu yang dipercayai aktif beroperasi sejak Mei lalu susulan satu operasi yang dijalankan di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan, Isnin lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, dalam operasi berkenaan, seorang suspek lelaki berusia 40 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 9 malam pada hari yang sama oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang.
“Susulan penahanan lelaki terbabit, polis kemudian menyerbu sebuah lokasi di kawasan Nibong Tebal dan merampas cecair syabu dengan anggaran berat sembilan kilogram (kg) yang dipercayai bernilai lebih RM450,000,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Dennis berkata, suspek disahkan negatif daripada penggunaan dadah hasil satu ujian saringan air kencing yang dijalankan, namun, semakan lanjut mendapati, lelaki itu mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah dan jenayah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek juga telah direman selama tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan.
“Pada masa yang sama, polis turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan membuat sitaan berjumlah RM70,000 dalam operasi yang sama,” katanya.-UTUSAN










