Kit Siang dahului senarai penerima darjah kebesaran Pulau Pinang

Kit Siang dahului senarai penerima darjah kebesaran Pulau Pinang

LIM KIT SIANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Tokoh DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mendahului senarai penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Pulau Pinang sempena sambutan Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Kit Siang, 83, yang juga merupakan bapa kepada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying akan menerima Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata, pada tahun ini, seramai 142 individu bakal menerima penganugerahan darjah kebesaran manakala 1,204 lagi menerima bintang dan pingat kehormatan.

“Penerima terdiri daripada anggota perkhidmatan awam negeri dan persekutuan, ahli politik, ahli korporat, anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO), usahawan-usahawan tempatan serta ahli-ahli badan sukarelawan.

“Empat sesi istiadat akan dijalankan iaitu pada esok (sesi pertama), 30 Julai (sesi kedua), 31 Julai (sesi ketiga) dan 1 Ogos (sesi keempat),” katanya di sini, hari ini.

Menurut Choo Kiang, seramai 28 individu menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.

“Antara penerima adalah Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour; bekas Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Abdul Mutalib Abdul Mohamed Razak dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin,” katanya.

Tambah beliau, seramai 10 penerima akan menerima Darjah Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) manakala 103 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk.

“Antara mereka yang menerima DMPN ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Muhammad Usuf Jan Mohamed.

“Penerima DSPN pula terdiri daripada Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman; Duta Besar Malaysia ke Timor Leste, Amarjit Singh Sarjit Singh; Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Mohamed Shamir Abdul Aziz dan Pengarah Kanan Perkongsian Perniagaan Asia, Micron Technology, Moorthy Murugaiah,” katanya.

Sementara itu, Choo Kiang berkata, bagi penganugerahan Darjah Johan Negeri (D.J.N.) seramai 102 orang penerima diikuti 30 orang penerima dianugerahkan Bintang Cemerlang Negeri (B.C.N.).

“Pingat Gagah Perwira (P.G.P.) untuk tahun 2024, dianugerahkan kepada Sarjan Mazlan bin Abdul Rahman yang telah menyelamatkan dua mangsa terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada 15 Januari 2024,” katanya yang memberitahu, anugerah tersebut diberi bagi menzahirkan penghargaan terhadap keberanian dan semangat perwira beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN