Pulau Pinang: Wakil rakyat diminta kemuka cadangan tingkatkan hasil negeri

Pulau Pinang: Wakil rakyat diminta kemuka cadangan tingkatkan hasil negeri

AHMAD Fuzi Abdul Razak ketika majlis perasmian Sidang DUN Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berharap semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat mengemukakan pandangan serta cadangan bagi meningkatkan hasil negeri pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

Ahmad Fuzi berkata, ini kerana defisit perbelanjaan negeri tidak selamanya dapat ditampung oleh baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan Negeri sekiranya tiada peningkatan hasil yang mendadak.

“Justeru, kerajaan negeri perlu mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan ‘Strategi Pengurangan Unjuran Defisit Negeri Tahun 2024’ di samping mempergiatkan usaha menggandakan hasil sumber pendapatan negeri.

“Dalam hal ini, saya memohon agar pada sidang kali ini, semua Ahli Yang Berhormat dapat mengemukakan pandangan serta cadangan bagi meningkatkan hasil negeri.

“Dengan iltizam dan komitmen daripada semua pihak, saya percaya prestasi fiskal negeri dijangka meningkat dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sidang DUN Pulau Pinang di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Fuzi, kerajaan negeri tidak pernah alpa dalam memastikan kelangsungan fiskal untuk jangka masa panjang.

Kata beliau, secara amnya, Pulau Pinang merupakan antara negeri yang sentiasa menunjukkan prestasi kewangan yang cukup baik berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

“Hal ini kerana defisit perbelanjaan sebenar negeri masih mampu ditampung oleh baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan Negeri, sekali gus mencatat prestasi kewangan yang positif pada akhir tahun.

“Sebagai tambahan, Pulau Pinang merupakan negeri kedua yang mencatatkan jumlah terkumpul baki pinjaman Kerajaan Persekutuan belum RM36.73 juta sehingga 31 Januari 2024,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fuzi berkata, beliau menaruh keyakinan pembinaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) yang akan melibatkan Syarikat MRT Corporation dengan kerjasama kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan segera.

“Salah satu projek mega di Pulau Pinang yang telah lama dinanti-nantikan akan dilaksanakan dalam masa terdekat ialah projek LRT dengan kos RM10 bilion hingga RM13 bilion yang bakal dilaksanakan melalui Kementerian Pengangkutan.

“Di samping memberikan tumpuan pada jajaran stesen dan depoh yang lebih strategik, pihak berkenaan perlu mengambil kira kepentingan kerajaan negeri tanpa menidakkan atau mengabaikan kehijauan alam sekitar serta peniaga kecil dan sederhana di kawasan yang bakal dirancang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN