DUN Pulau Pinang rasmi bubar hari ini

DUN Pulau Pinang rasmi bubar hari ini

CHOW Kon Yeow menyaksikan Ahmad Fuzi Abdul Razak yang memberi persetujuan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Pinang di Seri Mutiara, George Town, semalam. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang secara rasminya dibubarkan hari ini selepas mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sekali gus membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bertemu Ahmad Fuzi pagi semalam bagi mendapatkan persetujuan pembubaran DUN tersebut.

Kenderaan yang dinaiki Kon Yeow kelihatan memasuki kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri, Seri Mutiara di sini kira-kira pukul 7.53 pagi dan beliau meninggalkan Seri Mutiara kira-kira pukul 8.33 pagi.

Turut memasuki kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Sayuthi Bakar.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Kon Yeow berkata, PRN negerI akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas semua negeri membubarkan DUN masing-masing.

”Saya rasa lega selepas semua ini berakhir dan kita boleh membuat persediaan bagi mengadakan PRN,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing, maka satu PRN perlu diadakan sekiranya kerajaan negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing atau DUN terbubar dengan sendiri selepas tamat tempoh.

Mengambil kira tempoh pembubaran itu, PRN di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos, iaitu 60 hari daripada tarikh pembubaran.

PRN itu perlu diadakan memadangkan tempoh mandat DUN di enam negeri berkenaan akan berakhir pertengahan tahun ini.

Sementara itu, dalam sidang akhbar berasingan, Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata, beliau telah menerima Proklamasi
Perisytiharan Pembubaran DUN Yang Ke-14 berkuat kuasa hari ini yang ditandatangani Ahmad Fuzi selaras dengan Fasal (2) Perkara 19, Perlembagaan negeri.

Sehubungan itu, ujar beliau, keanggotaan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan elaun-elaun serta keistimewaan yang diterima oleh ADUN sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (saraan) 1980 akan terhenti mulai hari ini.

“Ketua Menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan akan terus berkhidmat sebagai ‘Kerajaan Caretaker’ sehingga kerajaan negeri yang baharu dibentuk selaras dengan Perkara 7(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang manakala Yang Dipertua DUN akan terus berkhidmat sehingga pelantikan baharu oleh Dewan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN